Sesudah Menonton Filem The Menu (2022)


Menonton filem The Menu (2022) beberapa hari lepas di panggung wayang mengingatkan saya pada esei Satira Selak Pintu Ironi yang pernah ditulis. Saya tulis di dalam esei itu:

"Satira adalah senjata rakyat paling ampuh. Golongan penguasa atau elit bangsawan tidak berani mendekati satira kerana bagi mereka seni hanyalah seni-seni elit yang boleh dibeli dengan harga ribuan ringgit, ditampal di dinding-dinding rumah dan pejabat untuk bermegah-megah tanpa faham pun makna hasil seni garis lukisan dan sentuhan larik cat. Kalau tidak percaya, pergilah ke rumah orang-orang kaya dan tanya maksud di sebalik lukisan yang mereka beli."


The Menu adalah tentang masyarakat elit yang acah-acah faham seni merasa tapi sebenarnya tidak faham apapun pasal seni. Rasa sedap di lidah mereka hanya berlandaskan pada nilai kuasa dan kemewahan. Sebab itu, sesetengah elitis kaya - sebagai contoh - lebih merasa sedap makan nasi lemak di kafe-kafe mewah bukan bersebab estetika rasa nasi lemak itu sendiri yang tinggi dan asli sangat. Tapi, kesedapan itu datang daripada nilai harga yang mereka bayar dan keselesaan suasana kafe yang mereka kunjungi. Lantas, mereka tidak akan menilai tinggi (bahkan barangkali memandang rendah) nasi lemak yang dijual oleh penjaja di jalanan. 

Pernah saya makan nasi lemak bungkus dengan seseorang di sebuah kafe mewah, dan dia bertanya kepada saya tentang kesedapan nasi lemak itu. Saya cuma berkata, "Biasa saja rasa nasi lemak itu. Tak ada lah sedap mana." Katanya, "Mana boleh tak sedap. Sedaplah nasi lemak tu. Makan nasi lemak dekat tempat mahal takkanlah tak sedap."

Jadi, The Menu menghidangkan kepada kita menu-menu sindiran chef Julian Slowik kepada para elit kapitalis dalam dunia kulinari. Daripada pengkritik makanan, hartawan, seniman sehinggalah kepada usahawan, mereka semua adalah para tetamu yang dijemput ke Hawthorne untuk merasai menu-menu "orang kaya". Peraturan Julian tetapkan kepada setiap hidangan menunya adalah: Semua hidangan itu hanya sekadar untuk dirasa dan dinikmati, bukan dimakan. 

Setiap bentuk dan menu yang dihidangkan itu sebenarnya adalah sindiran kepada ketamakan mereka, tetapi mereka tidak sedar sebab mereka tidak pernah faham pun apa itu seni merasa. Kecuali hanya Margot sahaja daripada kelompok marhaen yang menyedari kepelikan menu-menu yang dihidangkan dan sering mempersoalkan hidangan-hidangan daripada Julian Slowik. 

Menu demi menu dihidangkan sehinggalah - segala-galanya pun bermula - apabila menu yang bertajuk "The Mess" dihidangkan, di mana hidangannya adalah....mayat dan limpahan darah Jeremy (salah seorang pembantu chef Julian) yang menembak dirinya sendiri di atas "hidangan" yang dihiasi lobak dan kentang. Maka, hidangan itu dinamakan: “THE MESS – Pressure-cooked beef, bone broth, heirloom carrots and potatoes. R.I.P. Jeremy Loucks, 1988-2020.”

Ia adalah cerita tentang kekecewaan seniman yang merasakan bakatnya dipersia-siakan dan hanya sekadar dieksploitasi demi memenuhi citarasa orang lain. Ia adalah cerita yang mendedahkan hipokrasi elitis-elitis kaya dalam soal seni kulinari. Ia adalah cerita yang mempersoalkan tentang kekayaan, kemasyhuran, dan kemegahan. Ia adalah cerita yang membongkar bagaimana korupsi memusnahkan industri dan kualiti hasil seni. 

Ia adalah cerita yang menyedarkan kita, bahawa pada akhirnya kita hanya mahukan burger keju dan kentang goreng sahaja yang mengenyangkan ketimbang hidangan menu-menu yang kelihatan mewah pada penampilannya tetapi hanyalah sekadar melambangkan estetika selera para aristokrat yang hanya sekadar memuaskan selera kemewahan dan kekuasaan semata-mata.

Saya cadangkan filem The Menu untuk ditonton. Sambil-sambil itu bolehlah belajar sedikit tentang seni kulinari dan falsafah-falsafah dalam hidangan makanan yang disediakan. Lapar juga tengok makanan-makanan yang dihidangkan dalam filem itu.

Pascanota: Sesudah saya siarkan ulasan ringkas saya di status Whatsapp perihal The Menu, Hazieqa mencadangkan saya filem Tár (2022) yang katanya sentuh perihal elitisme dan nepotisme dalam dunia muzik klasik. Manakala Alif mencadangkan filem Triangle of Sadness (2022) yang turut menyentuh perihal kritikan terhadap kelas sosial. Barangkali filem-filem cadangan itu boleh dicari juga selepas ini untuk ditonton.

Pascanota 2: Kredit kepada Hafiz Adha yang mencadangkan filem ini untuk ditonton. Jarang dia tiba-tiba nak Whatsapp cadangkan filem ni. Biasa dia Whatsapp sebab nak belanja makan saja. Risau juga ada udang di sebalik mee.

Comments