BERTRAND RUSSELL: BAGAIMANA AKU MENULIS


Oleh: Betrand Russell

Terjemahan bebas: A. Muziru Idham



Aku tidak boleh berpura-pura tahu bagaimana untuk menulis, atau apa yang seorang pengkritik bijaksana akan nasihatkan untuk baiki tulisan aku. Apa yang aku boleh lakukan adalah dengan menceritakan tentang apa yang aku sendiri telah lakukan.


Sebelum berumur 21 tahun, aku ingin menulis dengan gaya John Stuart Mill. Aku sukakan struktur ayatnya dan cara dia bangunkan sesebuah subjek. Tapi, aku ada hasrat berbeza yang – aku rasa – diperoleh daripada matematik. Aku ingin bercakap tentang semua perkara dengan bilangan nombor paling sedikit namun diungkapkan secara jelas. Aku fikir, mungkin aku perlu meniru Baedeker berbanding mana-mana model sasterawi yang lain. Aku akan luangkan waktu selama beberapa jam bagi mencari cara terpendek untuk membicarakan sesuatu perkara tanpa sebarang kesamaran. Demi tujuan ini, aku berusaha sehabis daya untuk mencapai hasil yang terbaik.


Tetapi, pada usia 21 tahun, aku mendapat pengaruh baru daripada bakal abang ipar aku, Logan Pearsall Smith. Pada waktu itu, dia sangat berminat dengan gaya berbanding isi. Pujaannya ialah Flaubert dan Walter Pater. Aku pun percaya bahawa cara untuk belajar tentang bagaimana untuk menulis adalah dengan meniru teknik-teknik mereka. Dia memberikan beberapa peraturan mudah kepadaku – yang aku ingat sekarang ini cumalah dua sahaja daripadanya: “Letakkan koma pada setiap empat perkataan” dan “Jangan pernah gunakan ‘dan’ kecuali pada awal ayat”. 


Nasihat terbaiknya adalah setiap orang mesti sentiasa menulis semula. Aku cuba patuhi nasihat tersebut. Tetapi, aku dapati draf pertama aku selalunya lebih baik berbanding draf kedua. Penemuan ini telah menjimatkan banyak masa. Sudah tentulah aku tidak gunakannya terhadap isi tulisan, melainkan hanya kepada bentuknya. Apabila aku temui kesalahan pada bahagian penting, aku akan tulis kembali semuanya. Apa yang aku tidak sedar adalah aku boleh tambah baik sesebuah ayat kalau aku berpuas hati dengan maknanya.


Sedikit demi sedikit aku menemui cara untuk menulis tanpa perlu terlalu risau dan bimbang. Sewaktu aku masih muda, aku selalu rasa tidak mampu untuk hasilkan karya serius yang membawa idea baru. Aku gementar kerana takut untuk berbuat silap. Aku akan mencuba satu demi satu, tidak puas hati, lalu kesudahannya aku buang kesemuanya sekali. Akhirnya aku sedar bahawa usaha aku yang terkial-kial itu hanyalah membuang masa. 


Tampaknya sesudah aku menulis buku untuk subjek tertentu, dan selepas memberi perhatian awal yang serius kepadanya, aku perlukan tempoh pemeraman seketika. Aku tidak boleh tergesa-gesa seolah-olah terkekang oleh pemikiran yang terlalu berjaga-jaga. Adakala aku dapati yang aku telah buat silap, lalu tidak boleh menulis buku yang aku fikirkan itu. Tetapi, aku juga selalu bernasib baik. Selepas memberi tumpuan sepenuhnya dan merenungi masalah minda bawah sedarku, ianya akan bercambah sehinggalah penyelesaiannya muncul dengan tiba-tiba. Maka, apa yang tinggal hanyalah untuk ditulis hal-hal yang muncul daripadanya seumpama wahyu.


Contoh yang paling aneh untuk proses ini, dan menyebabkan aku bergantung padanya, adalah apa yang berlaku pada awal tahun 1914. Aku ingin menyampaikan Syarahan-Syarahan Lowell di Boston, dan telah memilih “Our Knowledge of the External World” (Pengetahuan Kita tentang Dunia Luar) sebagai subjek aku. Aku fikirkan tentang topik ini sepanjang tahun 1913. Sewaktu cuti penggal di bilik aku di Cambridge, dalam percutian di rumah penginapan yang tenang di hulu Sungai Thames, aku memberikan tumpuan sepenuhnya sehingga kadang-kadang aku terlupa untuk bernafas dan muncul tercungap-cungap seolah-olah dari kesurupan. Tetapi semuanya sia-sia. 


Bagi setiap teori yang aku fikirkan, pasti aku dapati ada ruang untuk bantahan-bantahan yang membungkam. Akhirnya, dengan rasa putus asa, aku pergi ke Rome untuk menyambut Hari Krismas, dengan harapan percutian itu akan memulihkan tenagaku yang lesu. Aku kembali ke Cambridge pada hari terakhir tahun 1913. Meskipun masalah yang membelengguku itu belum benar-benar diselesaikan sepenuhnya, tetapi masa sudah suntuk. Jadi, aku melantik seorang penulis trengkas untuk mencatat pertuturan ideaku. Pada hari esoknya, ketika dia masuk ke rumahku, banyak curahan idea mengalir ke dalam fikiranku. Lantas aku terus menuturkan ideaku untuk dia catatkan trengkas dengan sesegeranya. Seluruh isi buku disiapkan dalam momen itu. 


Aku tidak mahu tunjukkan riak yang keterlaluan. Buku itu sangatlah tidak sempurna, dan sekarang aku rasa buku itu mengandungi kesalahan-kesalahan yang serius. Tetapi, itulah cara terbaik yang aku boleh lakukan pada ketika itu. Jika gunakan kaedah yang lebih santai (dalam waktu yang ada), ia hanyalah akan menghasilkan sesuatu yang lebih buruk lagi. Walau apapun yang mungkin benar menurut orang lain, tapi itulah kaedah yang betul menurut aku. Bagi aku, lupakan sajalah Flaubert dan Pater itu.


Meskipun pandangan aku sekarang tentang bagaimana untuk menulis tidaklah berbeza sangat dengan apa yang aku fikirkan sewaktu berusia 18 tahun, tapi tidaklah bermakna perkembangan diri aku ini mendatar. Ada suatu masa – ketika tahun pertama abad ini – aku memiliki cita-cita yang besar dan meyakinkan. Pada waktu itulah aku menulis The Free Man’s Worship, karya yang hari ini aku tidak gemari. Pada ketika itu, aku terpesona dengan prosa Milton, dan tempoh bergulirnya itu bergema dalam rangka fikiranku. Aku tidak bolehlah hendak katakan bahawa aku tidak lagi menggemari mereka. Tapi, bagi aku, mereka itu tidak menarik untuk ditiru.


Hakikatnya, semua peniruan adalah merbahaya. Tiada gaya yang lebih baik berbanding Buku Doa dan Versi Sah Alkitab. Tetapi, kedua-dua buku tersebut memaparkan cara berfikir dan perasaan yang berbeza daripada zaman kita. Tiada gaya yang bagus kecuali gaya tersebut memaparkan ekspresi intim dan bersahaja bagi personaliti penulis tersebut, dan jikalau personalitinya menarik untuk dipaparkan. Meskipun peniruan polos perlu dihentikan, namun banyak kebaikan diperoleh apabila membiasakan diri dengan prosa yang baik, khususnya dalam memupuk rasa buat irama prosa.


Terdapat beberapa prinsip asas mudah – mungkin tidaklah berapa mudah sangat pun seperti yang abang ipar aku, Logan Persall Smith berikan kepada aku – yang aku rasa menjadi peraturan kepada para penulis esei. Pertama, jangan sekali-kali menggunakan perkataan yang panjang jika dapat gunakan perkataan yang pendek. Kedua, jika hendak membuat satu kenyataan dengan banyak syarat yang besar-besar, letakkan syarat-syarat tersebut dalam ayat yang berasingan. Ketiga, jangan biarkan permulaan ayat yang penghujungnya menyebabkan kefahaman pembaca bercanggah dengan maksud tulisan.


Contohnya ayat berikut yang mungkin digunakan dalam sesebuah karya sosiologi: Manusia hanya benar-benar bebas daripada perilaku bobrok apabila prasyarat tertentu - yang jarang sekali dipenuhi dalam kebanyakan kes sebenar - melalui himpunan beberapa keadaan yang menguntungkan, sama ada bawaan sejak lahir ataupun persekitaran. Keadaan tersebut menghasilkan individu yang memiliki banyak faktor menyimpang daripada kebiasaan dengan cara yang memberi manfaat kepada masyarakat.


Mari kita lihat ayat tersebut ditukar kepada bentuk yang lain. Aku cadangkan ayat berikut: “Semua manusia adalah penjahat, atau paling tidak pun hampir semuanya jahat. Manusia yang tidak berperilaku sedemikian pasti memiliki takdir yang luar biasa, sejak kelahiran sehinggalah asuhan.” Ayat itu bukan sahaja lebih pendek dan mudah difahami, bahkan menyatakan perkara yang sama. Cuma aku takutlah kalau mana-mana profesor akan dipecat apabila menggunakan ayat cadangan aku tersebut berbanding ayat pertama. 


Itulah nasihat aku kepada para pembaca yang mungkin juga dari kalangan profesor. Aku boleh gunakan bahasa Inggeris umum kerana semua orang tahu bahawa aku boleh gunakan logik matematik jika aku mahu. Contohnya ayat: “Sesetengah orang mengahwini adik perempuan isterinya yang telah meninggal dunia.” Aku boleh saja nyatakan ayat tersebut dalam bahasa yang hanya boleh difahami orang-orang terpelajar. Aku bebas untuk memilih cara aku menulis.


Aku sarankan kepada profesor muda untuk menulis karya pertama mereka dalam jargon yang hanya boleh difahami oleh segelintir golongan terpelajar. Dengan dokongan karya sebegitu, maka mereka boleh katakan apa-apa sahaja yang mereka ingin bicarakan dalam bahasa “yang difahami oleh orang kebanyakan” pada setiap masa. Hari ini, apabila kehidupan kita senang-lenang dengan idea-idea profesor itu, aku rasa mereka patut berterima kasih jika mereka menerima nasihat aku.



*Artikel Asal [Klik]

Comments