WAWANCARA ISMAIL S. TALIB DENGAN SYED HUSSEIN ALATAS [TERJEMAHAN]


Kredit Gambar: Intellectuals.SG

Sebetulnya, wawancara ini saya telah baca dan terjemah sejak awal tahun lagi, tetapi baru ketika ini saya meletakkannya di ruang blog. Pada ketika itu, saya menumpukan waktu lapang yang saya ada untuk membaca sebanyak mungkin tulisan-tulisan Syed Hussein Alatas yang belum dibaca lagi, yang menemukan saya dengan sesi wawancara ini yang ditemui daripada makalah karangan Ismail S. Talib, In Celebration of Said's Orientalism: Twenty Years. Ada sebab saya lambat meletakkannya di blog saya. Sebabnya, saya hendak mendapatkan kebenaran hak cipta terjemahan daripada penerbit asal agar saya dapat mengirimkan terjemahan saya ini untuk siaran di mana-mana. Tetapi, disebabkan emel yang saya hantar kepada penerbit tidak berbalas, dan saya dapatinya sukar untuk mendapatkan kebenaran tersebut, maka rasanya lebih baik saja saya letakkan di blog saya ini agar manfaatnya tidak terlambat dan terlewat untuk dikecapi oleh semua orang. 


Rasanya temuramah dengan Syed Hussein yang ditemui daripada makalah karangan Ismail S. Talib, In Celebration of Said's Orientalism: Twenty Years ini adalah sangat langka. Saya belum dapati wawancara ini pernah dibincangkan di mana-mana (setidak-tidaknya dalam kadar pembacaan terbatas saya). Barangkali adalah disebabkan sesi wawancara ini terselit dalam sebuah makalah yang secara utamanya adalah untuk membincangkan perihal buku Orientalism yang ditulis oleh Edward Said. Jadi, ia mungkin terlepas pandang daripada perhatian dan perbincangan awam. Tetapi, saya fikir, sesi wawancara ini adalah sangat penting untuk dibaca kerana Syed Hussein Alatas membicarakan tentang proses kepengarangan selama ini, dan motivasi yang menggerakkannya untuk membangunkan kesarjanaan pascakolonial. Apabila membawa wawancara ini, maka kita akan faham bagaimana proses beliau menulis The Captive Mind dan The Myth of Lazy Natives yang sangat terkenal diasosiasikan dengan gerak kerja akademiknya itu. 


 


Ismail S. Talib (Ismail)

Syed Hussein Alatas (Alatas)


Ismail: Kita akan mulakan wawancara ini dengan menyentuh tentang buku Edward Said, iaitu Culture and Imperialism. Dalam buku itu, Said menunjukkan minat yang luar biasa terhadap kerja-kerja yang tuan telah lakukan, terutamanya terkait dengan analisis tuan terhadap sikap Barat terhadap Timur. Berkaitan dengan apa yang Said sebutkan tentang tuan dalam bukunya itu, boleh saya tahu sama ada tuan mengenalinya secara peribadi ataupun tidak?

 

Alatas: Saya tidak pernah bertemu dengan Edward Said secara peribadi. Saya ada baca buku-bukunya, termasuklah buku Culture and Imperialism. Rupa-rupanya dia juga membaca tulisan-tulisan saya juga ya. Setakat ini, kami ada bertukar-tukar hadiah buku. Saya ada terima naskhah Culture and Imperialism daripadanya, dan saya juga ada memberikannya salinan buku saya, Modernisation and Social Change. Saya harap suatu hari nanti saya dapat bertemu dengannya di mana-mana.

 

Ismail: Dalam Culture and Imperialism, Said ada menyebut karya tuan, Myth of the Lazy Native. Jelas sekali bahawa buku itu bukanlah satu-satunya buku yang membicarakan tentang sikap-sikap Barat terhadap Timur. Bolehkah tuan ceritakan sedikit kepada kami tentang sejarah bagaimana tuan boleh terlibat dengan isu-isu Orientalisme?

 

Alatas: Penglibatan saya dengan isu ini bermula apabila saya menjadi pelajar di University of Amsterdam selepas perang tamat. Saya belajar tentang sosial dan sains politik, kemudian saya menjadi berminat dengan Orientalisme kerana saya merasakan bahawa masyarakat daripada rantau takluk perlu dilayan dengan lebih objektif dalam hal-hal kesarjanaan. Saya dapati banyak salah faham dan prejudis terhadap Islam dalam tulisan-tulisan mengenai Islam dan dunia Muslim. Hasilnya, saya menjadi lebih berminat dengan isu ini. 


Saya berpandangan bahawa ia juga merupakan tugas kita untuk melawan penjajah, iaitu minda kepenjajahan, seiring dengan perlawanan kita terhadap kepenjajahan politik. Lagipun, Orientalisme juga merupakan salah satu bentuk dominasi, di mana ciri-ciri Orientalisme adalah bersamaan dengan ciri-ciri kolonialisme, seperti ketiadaan pengiktirafan terhadap keperibadian tanah jajahan. Tanah jajahan dipergunakan untuk keperluan negara induk; meskipun difikirkan bahawa tanah-tanah jajahan perlu membangun, namun konsep pembangunan itu sendiri datang daripada luar. Mereka yang menentukan apa yang perlu dibangunkan, bagaimana untuk membangun, apakah model pembangunannya, dan apa itu rasa hormat. Semua perkara ini ditentukan daripada luar. 


Begitu juga apabila mereka mula mengkaji tentang sejarah Asia, subjek-subjek Asia, Islam dan kesemuanya, mereka turut mengenakan cara yang sama: mereka menentukan apa yang penting untuk dikaji dalam Islam, bagaimana Islam itu perlu dikaji, dan bagaimana Muslim perlu berfikir. Contohnya, mereka menerbitkan karya utama tentang sejarah Islam dan ketamadunan Islam, The Encyclopedia of Islam. Saya bukan bercakap tentang edisi terkini, tetapi saya cakap tentang edisi pertama yang telah diterbitkan sekitar era Perang Dunia Pertama. Apakah ada mana-mana Muslim yang menyumbang tulisannya untuk Ensiklopedia itu? Saya sukar hendak dapati mana-mana nama Muslim di dalamnya. Mungkin ada lah satu atau dua orang. Tetapi secara keseluruhanya, ianya sebuah Encyclopedia of Islam yang ditulis oleh sekumpulan Orientalis.

 

Ismail: Saya percaya Syed Naquib (Alatas - adik Syed Hussein dan sarjana Islam) ada menyumbang tulisannya untuk Ensiklopedia itu. 

 

Alatas: Itu untuk edisi terkini. Ensiklopedia itu memiliki beberapa buah edisi. Sewaktu saya menjadi pelajar di Amsterdam pada tahun 50-an, sebahagian besar ensiklopedia tersebut masih dikawal oleh sekumpulan sarjana Orientalis.

 

Ismail: Mari saya bawa tuan balik semula ke Amsterdam dan beberapa buku terawal tuan yang diterbitkan. Saya ingin bertanyakan tuan mengenai jurnal yang tuan sunting daripada tahun 1954 hingga 1956. Bolehkah tuan ceritakan serba sedikit tentang jurnal itu?

 

Alatas: Tujuan jurnal tersebut adalah untuk membangunkan minat kepada Islam di Barat dan sebuah kefahaman mengenai Islam di dunia moden. Jurnal tersebut juga bertujuan meletakkan beberapa jenis penentangan terhadap prejudis dan pelaporan sehala mengenai Islam. Contohnya, ada sebuah editorial dalam The Times di London yang mengkritik konsep negara Islam. Saya telah menulis jawapan balas saya kepada editorial tersebut. 


Selain itu, minat saya adalah untuk membangkitkan minat tentang reformasi masyarakat Muslim. Saya telah disokong pada ketika itu oleh mantan Perdana Menteri Indonesia yang merupakan pemimpin kepada parti Muslim, Muhammad Nasir. Beliau merupakan seorang penyokong utama kepada akhbar itu. Tetapi, pemikiran dalam akhbar itu tidak sekadar terkurung kepada mana-mana kumpulan tertentu. Kamu tidak boleh berkata bahawa jurnal itu berpegang pada pandangan Islam yang berorientasikan kaku. Ia lebih kepada Islam sebagai sebuah asas universal yang luas bagi pemikiran mengenai pembangunan. Ia juga berdasarkan kepada asimilasi terhadap pemikiran moden. 


Saya tidak berminat untuk menghidupkan masa lalu atau membuat sebuah replika bagi sebuah model purba pada masa sekarang. Minat saya adalah untuk menghidupkan semula nilai-nilai tetap bagi Islam dan menyepadukannya dengan keperluan moden. Kita memerlukan perundangan baharu sepenuhnya yang berdasarkan kepada nilai-nilai Islam, dan bukannya sekadar kembali kepada perundangan tradisional. Undang-undang tersebut perlu dianggap sebagai sebuah sumber wawasan terkumpul, tetapi tidaklah memerlukan kita untuk taat menyeluruh kepadanya. Pemikiran kita pada waktu itu adalah nilai-nilai yang perlu menjadi inklusif kepada semua Musim daripada mana-mana kesatuan, sama ada kamu Sunni, Syiah, Ismaili dan seterusnya. 

 

Apabila berfikir dengan cara sebegini, kita tidak dilibatkan dengan desakan mengarut yang meminta agar setiap Muslim perlu menjadi milik parti orang Islam. Tidak adanya sesuatu yang dipanggil sebagai parti Muslim. Dalam al-Qur’an, tiada sebarang ayat yang mencadangkan agar seseorang Muslim perlu tergolong dalam sesebuah parti politik. Ianya bukanlah keperluan bagi sebuah kehidupan Islamik untuk terlibat dengan mana-mana parti politik Muslim. 


Apa yang diperlukan adalah untuk untuk mendasarkan sesuatu tindakan dan pemikiran itu kepada prinsip-prinsip Islam dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah politik. Dengan kata lain, politik kamu harus jujur, bersih, tidak korup, dan politik tersebut perlu ditanamkan dengan nilai-nilai Islam sebagai sebuah prinsip umum. Tetapi tidaklah bermakna nilai-nilai sebegini dimonopolikan dalam sesebuah kumpulan yang menggunakan nama Islam sebagai parti politiknya. Secara kasarnya itulah hala tuju luas bagi jurnal tersebut.

 

Ismail: Dengan menjadikan perkara tersebut sebagai titik perbincangan, bolehkah tuan mengulas sedikit mengenai artikel yang tuan tulis pada 60-an, yang bermula sebagai sebuah syarahan yang tuan sampaikan di New York, iaitu Studies of Asia by Western Scholars (Kajian tentang Asia oleh Sarjana Barat). Bolehkah tuan ceritakan kepada kami sesuatu mengenai perkara tersebut?

 

Alatas: Nah, ia adalah seperti ini. Saya cuba menilai kajian-kajian tentang Asia oleh para sarjana Barat, dan juga meletakkan asas kefahaman tentang reaksi kita terhadap Barat. Sebabnya, pada ketika itu juga, ada kecenderungan dalam sesetengah kumpulan untuk mewujudkan pertentangan secara ekstrim, dengan mengadu domba dan merendahkan martabat Barat. Reaksi sebegitu merupakan sebuah reaksi emosional yang primitif. Saya cuba untuk mengelakkan hal tersebut dan menentang kesarjanaan yang semacam itu, seperti yang dapat dilihat dalam sesetengah karya para sarjana Barat yang tidak objektif apabila melibatkan hal-hal berkaitan dunia Islam. 

 

Jadi, apa yang saya lakukan adalah membincangkan persoalan ini mengenai peranan pemerhatian dalaman dan luaran. Ramai sarjana daripada Barat pada ketika itu yang merasakan bahawa mereka lebih “objektif” dengan menjadi pemerhati luar. Sekarang, saya berpandangan bahawa kesarjanaan tersebut harus berdasarkan kepada pemerhati dalaman secara mendasar. Saya tidak menafikan bahawa pemerhati luaran boleh menyumbang, tetapi tidak adanya kesarjanaan kecuali telah adanya korpus keilmuan yang dibina oleh para pemerhati dalaman. Contoh saya berikan adalah kesarjanaan mengenai Eropah Barat, yang berdasarkan kepada karya-karya sarjana Barat: Tiada sesiapa yang merujuk kepada pemerhati luar Eropah – yang akan dilayan sebagai sebuah jenaka. 


Begitu juga dengan kajian Amerika, yang secara meluasnya dilakukan oleh orang-orang Amerika. Sudah tentulah kita boleh ada contoh seperti de Tocqueville, yang melawat Amerika pada kurun ke-19 dan memerhati karya-karya mengenai demokrasi Amerika. Sebagai seorang lelaki Perancis yang datang daripada Perancis, dia telah melakukan sesuatu yang gah; memang sudah dinyatakan secara meluas bahawa pemerhati luar de Tocqueville ini adalah sangat tajam, tetapi hal ini tidaklah bermakna bahawa seorang sarjana Amerika tidak boleh menjadi tajam mengenai masyarakat Amerika. 


Pada masa yang sama, hanya kerana tokoh-tokoh terpencil seperti de Tocqueville, tidaklah bermakna seseorang perlu mengenepikan segala kesarjanaan Amerika yang telah dilakukan oleh orang-orang Amerika. Apakah ia bermakna kesarjanaan lelaki Perancis luar adalah lebih objektif dan penting berbanding kesarjanaan masyarakat dalaman Amerika yang lemah? Pokok pangkal isu ini adalah dakwaan kamu tentang keunggulan kerana kamu adalah seorang kuasa luar; ianya tidak munasabah.

 

Ismail: Mari saya bawa tuan kembali kepada apa yang tuan jelaskan sebagai novel Indonesia pertama yang hebat, iaitu novel Max Havelaar oleh Multatuli. Bolehkah tuan beritahu kami sedikit sebanyak tentang pandangan tuan mengenai novel ini?

 

Alatas: Saya tidak berapa ingat tentang perincian novel tersebut, tetapi secara kasarnya yang saya ingat tentang novel itu adalah penceritaan tentang ketidakadilan dalam sistem kolonial dan penindasan terhadap kelompok tertindas, yang melibatkan kuasa kolonial dan pegawai tempatan sekaligus. Apa yang ditulis oleh Multatuli dalam novel tersebut sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman hidup sebenar. Saya membaca tulisan-tulisan bukan fiksyennya tentang bagaimana para penduduk ditindas; tentang bagaimana wujudnya persekongkolan antara pegawai wilayah; kepada siapa Multatuli bantu, dengan beberapa kumpulan penjenayah. Kemudian, apabila dia cuba untuk meneliti perkara ini, dia dihalang; bahkan dia telah dibuang dan dipecat daripada pejabatnya. Dia dibuang atas alasan memiliki hubungan yang melibatkan aktiviti-aktiviti jenayah sebegini, yang pada akhirnya membawa kepada Gabenor General yang – disebabkan alasan ini – merupakan seseorang yang secara umumnya menyokong kumpulan ini. 

 

Sepanjang hayat Multatuli di Holland, dia teruskan pergolakannya terhadap penjajahan di India Hindi Belanda. Jadi, saya boleh kata, dia merupakan pejuang pembebasan pertama di tanah asal. Para pejuang pembebasan tempatan sebelumnya di Indonesia adalah benar-benar melawan sebuah kuasa luar; melawan kuasa pencerobohan. Ianya agak sama dengan perjuangan melawan kuasa-kuasa pencerobohan sebelum ketibaan Belanda. Tetapi apa yang Multatuli telah lakukan adalah untuk melawan sebuah sistem yang telah menyatukan dirinya, dan tidak lagi dipaparkan dalam bentuk sebuah kuasa ketenteraan luar. Ia adalah sebuah penentangan dari dalam sistem; dari dalam dunia kolonial.

 

Ismail: Pandangan tuan terhadap Multatuli sangat menarik, dan kembali kepada pandangan tuan mengenai pemerhati dalaman dan luaran, bolehkah tuan jelaskan pandangan Multatuli sebagai sebuah pandangan luar yang telah dihayati, atau lebih tepat lagi, sebuah pandangan asing yang telah diperibumikan?

 

Alatas: Kesimpulan saya dalam Studies of Asia by Western Scholars adalah pentingnya kedua-dua pandangan luaran dan dalaman, dan ia bergantung kepada sifat sarjana seseorang individu yang mampu untuk merujuk kepada kedua-duanya walaupun dia boleh diklasifikasikan sebagai salah seorang daripadanya sahaja. Atau, sarjana sebenar perlu berusaha untuk melibatkan pandangan daripada kedua-duanya. Tetapi asasnya mestilah daripada dalaman; binaannya mestilah daripada dalaman. Kemudian, apabila kesarjanaan tempatan telah dibangunkan, maka ia perlulah juga menyesuaikan perspektif-perspektif luaran tertentu.

 

Ismail: Bolehkah tuan kembangkan pandangan tuan mengenai pandangan luaran dan dalaman berhubung dengan tokoh Belanda terkenal yang lain, iaitu Snouck Hurgronje?

 

Alatas: Sebagai permulaan, secara reputasinya dia bukanlah seorang sarjana. Dia menyamar sebagai seorang sarjana. Sekiranya kamu terapkan kriteria untuk definisi seorang sarjana secara ketat kepadanya, Snouck bukanlah orangnya. Pertama, komitmennya adalah untuk berkhimat kepada kerajaan kolonial. Dia telah berkhidmat dengan baik kepada mereka. Kedua, kesarjanaannya tidak memiliki sebarang latar belakang disiplin. Dia mengkaji tentang maklumat mengenai Indonesia secara sedikit. Satu-satunya perkara yang kita boleh katakan adalah dia dikenali sebagai seseorang yang boleh membaca bahasa Arab. Walaupun begitu, kita tahu bahawa orang lain sebenarnya yang banyak melakukan kerja-kerja transkripsi bahasa Arab; dia mempunyai seorang pembantu yang banyak membantunya.

 

Ismail: Hurgronje juga adalah menarik kerana dia menyamar sebagai orang asal.

 

Alatas: Oh ya. Baginya muslihat itu tidak mengapa. Kamu boleh bermuslihat demi kepentingan “kesarjanaan”; tetapi sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh “kesarjanaan”, dari segi istilah praktikalnya, adalah perisikan terhadap kerajaan kolonial. Pertama, dia menipu orang Islam dengan mendakwa dirinya sebagai seorang Muslim, dan dia menipu mereka dengan memaparkan dirinya sebagai seorang jemaah haji dari Mekah. Tujuannya adalah untuk menulis sebuah buku bagi menasihati kerajaan kolonial Belanda tentang bagaimana untuk merumuskan polisi mereka tentang haji. Pada akhirnya, nasihatnya itu adalah: Tiada apa-apa masalah dengan haji, dan dia tidak mencadangkan kerajaan kolonial untuk menghentikan kegiatan haji daripada Indonesia.

 

Dia meneruskan muslihatnya itu dengan beberapa cara. Dia pergi ke merata tempat dengan nama Haji Abdul Ghaffar, dan pada akhirnya berkahwin – sebagai seorang Muslim yang sepatutnya – dengan seorang wanita daripada sebuah keluarga di Bandung. Dia memiliki seorang anak lelaki daripada perkahwinan tersebut. Apabila dia kembali ke Holland, dia menafikan anaknya itu secara rasmi, melarangnya daripada Holland, dan daripada berhubungan dengannya. Tetapi Hurgronje memberinya wang untuk pendidikannya. Dia tidak menganggapnya anaknya itu sebagai kanak-kanak Muslim yang sah. Kemudian, anak perempuannya di Belanda mendapati bahawa dia memiliki seorang adik lelaki di Bandung, dan dia sangat terkejut. Jenis sikap “kesarjanaan” apakah yang begini? 


Jika dalam falsafah peribadi kamu menjalankan tipu muslihat untuk membantu kamu dalam “kesarjanaan” kamu, maka banyak tipu muslihat pada akhirnya terlibat dalam apa-apa “kesarjanaan” yang kamu telah lakukan. Sebagai contoh, banyak tulisan yang dia tulis dalam bukunya di Mekah telah dibantu oleh seseorang di Mekah, di mana banyak maklumat telah didapati daripada sumber ini. Tetapi tanggapan yang diberikan adalah bahawa dia telah mengumpul semua maklumat tersebut secara bersendirian.

 

Ismail: Dari satu segi, Hurgronje adalah perbandingan yang menarik dengan Multatuli, kerana kita memiliki Hurgronje yang bermuslihat dan Multatuli yang jujur.

 

Alatas: Ya.

 

Ismail: Bolehkah tuan cerita sedikit kepada kami tentang beberapa hasil kerja tuan yang diterbitkan pada 70-an? Mungkin kita boleh bermula dengan The Captive Mind?

 

AlatasThe Captive Mind dihantar untuk diterbitkan pada tahun 1972. Makalah itu diterbitkan lima tahun kemudian – pada tahun 1977 – tapi sebenarnya makalah itu telah siap pada tahun 1972. Saya mula menulis bab pertama buku tersebut pada tahun 1967 di Kuala Lumpur, dan saya menyiapkannya di Singapura. Tujuan utama saya adalah untuk mempertegaskan kemerdekaan kita, iaitu kemerdekaan dalam kesarjanaan. Kemerdekaan di sini bukanlah sekadar seseorang berfikiran merdeka tentang isu-isu tertentu, tetapi turut bermaksud seseorang mampu untuk memberi reaksi terhadap penghinaan intelektual. Seseorang perlu membangunkan sebuah kesarjanaan yang defensif dan agresif. Pada waktu itu, saya mendapati bahawa – seperti juga ramai yang lain – ramai sarjana daripada Barat bukan saja tidak sensitif, bahkan mereka juga menghina: kita dikatakan sebagai mundur, kejam, khianat, malas, bodoh, seperti haiwan, dan mencemarkan manusia. 


Sebagai contoh, kita ada buku terkenal yang ditulis oleh Stoddard, The Rising Tide of Colour against White World-Supremacy. Ia merupakan sebuah buku rasis yang sangat membimbangkan; yang cuba memberi amaran kepada dunia tentang kebangkitan masyarakat asal pada masa hadapan. Apa yang ditulis oleh Stoddard hanyalah sekadar ringkasan daripada apa yang telah ditulis mengenai orang asal Asia dan Afrika selama berkurun-kurun lamanya. Jadi, sebagai reaksi kepada perihal tersebut, saya berkata kepada diri saya sendiri bahawa saya perlu melawan semula. 


Dalam proses perlawanan semula, saya menegaskan tentang kemerdekaannya, dan juga menggunakan kanun kesarjanaan yang lebih ketat. Tiada istilah perkauman dalam kesarjanaan atau fanatik agama, jika mahu memanggil dirinya sebagai sebenar-benar kesarjanaan. Motivasi lain yang memandu hasil kerja saya adalah berdasarkan kepada pemilihan terhadap kepercayaan saya; namun hal ini tidak boleh menjejaskan amalan kesarjanaan, meskipun ia boleh membantu saya untuk memilih satu tema bagi perbincangan ilmiah, yang mungkin dipandu oleh pertimbangan falsafah.

 

Panduan saya dalam memilih tema mitos “pribumi malas” bagi buku terkini saya adalah penghinaan terbesar yang dipaksakan terhadap masyarakat asal buat sekian lama, dan ianya adalah berdasarkan kepada etnik. Penghinaan tersebut bukan sahaja digunakan oleh mereka yang selari dengan pandangan penjajah, malah turut diguna pakai oleh mereka yang menentang penjajah seperti Marx dan Engels. Ada sebilangan orang yang menentang pandangan sebegini, iaitu daripada mereka yang tidak percaya dengan kutukan terhadap masyarakat asal demi membuat kajian terhadap mereka. Tapi kewujudan mereka adalah minoriti pada era tersebut. Saya berasa marah dengan sikap penghinaan terhadap masyarakat asal, yang telah berlangsung sekurang-kurangnya selama dua abad. 


Penjelasan terhadap perkara ini mesti dilakukan, kerana sewaktu era kemunculan sikap sebegini, masyarakat tempatan tidak menimbulkan masalah kepada penjajah. Penjajah tidak dicabar dan segala-galanya berada dalam kawalan mereka. Tetapi masyarakat asal masih digambarkan dengan suatu cara yang menghina. Perihal lain bagi permasalahan ini adalah masyarakat asal itu sendiri tidak dimaklumkan dalam kajian dan mereka sama sekali tidak pernah dilibatkan ke dalam mana-mana perbincangan. Kelihatannya seolah-olah penglibatan masyarakat asal ke dalam perbincangan dan mendengar apa yang ingin disuarakan oleh mereka adalah tidak relevan.

 

Proses sebegini adalah menarik di mana kita ingin tahu kenapa semua ini berlaku. Saya bermula dari situ. Kemudian saya mendapati bahawa sebab-musabab wujudnya perbincangan yang besar tentang kemalasan pribumi adalah disebabkan penjajah ingin memperkenalkan buruh paksa, dan mereka hendak menjustifikasi perlakuan mereka itu. Sewaktu perbincangan tersebut sedang memuncak, terdapatnya konflik di antara mereka yang bersetuju dengan buruh paksa dan mereka yang menentang idea tersebut. Bagi mereka yang berada dalam kawalan penjajah, mereka adalah kelompok yang bersetuju dengan buruh paksa. Saya juga mendapati bahawa tema masyarakat pribumi malas ini tidaklah terkenal selepas penjajah memiliki kuasa kawalan kepenjajahan yang sepenuhnya. Ini adalah paradoks, kerana keperluan untuk membuat kritikan tentang ketidakadilan terhadap masyarakat peribumi hanya wujud selepas mereka tidak lagi mengawal masyarakat peribumi tersebut.

 

Ismail: Perkara yang tuan bincangkan tadi adalah mengenai The Captive Mind dan The Myth of Lazy Natives. Kita perlu sebut di sini sekali lagi bahawa The Myth of Lazy Natives merupakan buku yang dianalisis oleh Said dalam bukunya, Culture and Imperialism. Saya perlu tambahkan di sini bahawa, pada satu sisi, saya gembira apabila dia menyebutkan nama tuan dalam bukunya itu; tetapi pada masa yang sama, apa yang saya dapat lihat pada akhir-akhir ini khususnya selepas penerbitan Culture and Imperialism, ramai orang hanya mengenali tuan melalui The Myth of Lazy Natives. Saya berharap agar temuramah ini akan membantu untuk meluaskan lagi kesedaran awam tentang kesarjanaan yang tuan telah laksanakan.

 

Saya ingin bawa lagi buku lain yang tuan telah tulis pada 70-an, dan inilah buku tuan mengenai [Sir Thomas Stamford] Raffles. Saya ingin menyatakan dalam Singapura hari ini, bahawa Raffles seringkali dianggap sebagai bapa Singapura. Sudah tentu ia merupakan sebuah isu yang rumit, di mana – untuk memulakan perkara ini – Raffles merupakan seseorang yang secara etniknya adalah bersifat natural. Dia bukanlah seorang tokoh yang terkait dengan mana-mana empat etnik masyarakat yang utama; malahan dia juga bukanlah seorang lelaki Eurasia. Jadi, dengan hal tersebut, dia merupakan seseorang yang secara etnik naturalnya adalah sesuai untuk dianggap sebagai “bapa” Singapura. Bolehkah tuan jelaskan dengan lebih mendalam tentang perkara ini?


Alatas: Baik, saya ingin katakan begini: Saya membuat perbezaan di antara seorang pengasas bagi sebuah penempatan sama ada ianya adalah bandar, kota, atau pelabuhan, dengan seorang pengasas bagi sebuah bangsa. Kedua-dua perkara tersebut adalah tidak sama. Apa yang Singapura lakukan adalah menganggap Raffles sebagai bapa kebangsaan. Bagi saya hal itu adalah tidak benar. Dia bukannya pengasas bangsa, kerana bangsa Singapura pada hari ini hampir tidak berkait langsung dengan profil Singapura sewaktu zaman Raffles. Masyarakat hampir berbeza sama sekali. Meskipun dia memulakan pelabuhan tersebut dan mula membangunkan satu atau dua buah sekolah, namun perkara tersebut tidak melayakkannya untuk digelar sebagai bapa kebangsaan. Ramai pentadbir kolonial memulakan atau mengasaskan kota ataupun penempatan, namun mereka tidak digelar atau dianggap sebagai pengasas kebangsaan. 


Jadi, perbezaan antara bapa sebuah penempatan dan bapa sebuah bangsa perlu dibuat di sini. Dan selepas itu, sudah tentulah terhadap kontradiksi intelektual dan falsafahnya: Sekiranya Singapura mendakwa dirinya sebagai sebuah bangsa merdeka, maka ia perlu merdeka daripada penjajah yang lepas. Sekiranya kamu mahu merdeka daripada penjajah lepas, maka bagaimana kamu boleh memiliki pentadbir kolonial sebagai pengasas bangsa? Penemuan bangsa tidak pernah menjadi tujuan bagi kepenjajahan. Tujuannya adalah untuk mengawal bangsa.

 

Ismail: Pada masa yang sama, ianya merupakan sebuah fenomena yang pelik bagi kolonialisme untuk mencipta bangsa atau negara bangsa.

 

Alatas: Kolonialisme tidak mencipta bangsa, tetapi mencipta negara bangsa. Mereka mencipta penggabungan semula persempadanan etnik. Mereka tidak mengasaskan bangsa. Sebagai contoh, perpaduan Indonesia yang wujud merupakan epifenomena bagi pemerintahan Belanda, namun Indonesia tidak akan mendakwa bahawa bangsanya itu diasaskan oleh Jeneral-Governor Belanda.

 

Ismail: Dan juga, dalam sebuah cara yang pelik, salah satu cara di mana negara bangsa telah diciptakan adalah melalui penindasan terhadap masyarakat asal oleh kuasa penjajah, yang membangunkan rasa perpaduan.

 

Alatas: Ya. Dan juga, selagi mana sebahagian besar Asia dan Afrika diambil kira, kolonialisme tidak menciptakan apa-apa yang baharu. Apa yang berlaku adalah penjajaran semula bagi ketaatan dan persempadanan. Sebagai contoh, bahasa Melayu sememangnya telah menjadi lingua franca sewaktu ketibaan penjajah.

 

Ismail: Peliknya, ia telah menjadi kurang lingua franca pada hari ini berbanding sebelumnya.

 

Alatas: Ya.

 

Ismail: Bahasa Melayu juga digunakan di Kepulauan Filipina.

 

Alatas: Contoh lain adalah kolonialisme tidak membawa apa-apa kepentingan yang baharu: perdagangan antara pulau telah wujud sebelum ketibaan kolonialisme. Ini bermakna perdagangan antarabangsa telah wujud sebelum kolonialisme. Perkara yang sama turut boleh dikatakan mengenai kesedaran etnik.

 

Ismail: Terima kasih Prof Alatas, kerana sudi melapangkan waktu tuan. Bagi pihak lembaga editorial, saya ingin mengucapkan penghargaaan kerana mengadakan temuramah ini dengan World Literature Written in English.



Nota: Wawancara ini adalah terjemahan bebas daripada makalah jurnal yang ditulis oleh Ismail S. Talib bertajuk, In Celebration of Said's Orientalism: Twenty Years (1997), World Literature Written in English, Vol. 36(2). Boleh muat turun makalah tersebut di sini: [KLIK]

Comments

Post a Comment