WAWANCARA KRITIKAN FEMINIS MIEKO KAWAKAMI TERHADAP HARUKI MURAKAMI [TERJEMAHAN]

Kredit Gambar: Literary Hub

Haruki Murakami tidak banyak terlibat dengan banyak wawancara. Tetapi, pada tahun 2017, dia memberi pengecualian terhadap novelis Mieko Kawakami, seorang pengarang yang dia gemarkan hasil karyanya. Mieko Kawakami juga pernah menulis tentang pengaruh Murakami terhadap karya fiksyennya (yang baru mula muncul dalam bahasa Inggeris). Mereka kelihatannya beramah mesra antara satu sama lain. Murakami dan Kawakami telah menghabiskan masa selama 16 jam bersama-sama dalam empat pertemuan di Tokyo, sehingga terhasilnya buku The Owl Spreads Its Wings with the Falling of the Dusk, yang diterbitkan di Jepun oleh Shinchosha pada tahun 2017. Dalam segmen perbualan tersebut, Kawakami bertanya kepada Murakami tentang peranan dan tingkah laku watak-watak perempuan dalam novel-novelnya.

 


Mieko Kawakami (MK)

Haruki Murakami (HM)

 

MK: Saya mahu tahu tentang watak Mariye Akigawa dalam novel Killing Commendatore. Saya dapat rasakan yang dia sangat tertekan apabila identitinya dikaitkan dengan payudaranya. Perkara ini tidak berlaku terhadap watak-watak perempuan muda dalam novel-novel kamu yang lain; tidak seperti watak-watak seperti Yuki dalam Dance Dance Dance, atau May Kasahara dalam The Wind-Up Bird Chronicle yang saya boleh kaitkan dengan mudahnya. 


Saya berfikir tentang babak May Kasahara bercakap tentang “benjolan kematian...bulat dan licin, seperti sebiji bola lisut.” Ketepikan dulu perbincangan mengenai protagonis, tapi May memiliki perwatakan yang sangat kuat sepanjang novel ini; tentang perbezaan yang samar antara menyakiti diri sendiri dengan menyakiti orang lain, atau kematian diri sendiri dengan kematian orang lain. Prosa itu sangat hebat. Ia benar-benar menggambarkan tentang diri seorang perempuan. Saya sangat menyukai petikan-petikan tersebut. Yuki dan May tidak banyak bercakap mengenai payudara atau tubuh badan mereka. Tetapi Mariye dalam Killing Commendatore....

 

HK: Mariye benar-benar terpaku dengan payudaranya. Ia hampir merupakan sebuah obsesi.

 

MK: Betul, tapi kamu tidak rasa ke yang dia terlalu terpaku dengannya? Kali kedua dia bersendirian dengan pencerita pertama – seorang lelaki yang dia tidak pernah temui sebelum ini – perkataan pertama yang keluar daripada mulutnya adalah sesuatu yang seperti, “Kamu tak rasa ke yang payudara saya ni sangat kecil?” Saya membacanya dengan sangat terkejut. Dari mana datangnya obsesi dengan payudara ni?

 

HM: Saya tidak akan katakan bahawa ia datang dari mana-mana. Saya cuma bayangkan perempuan di luar sana turut merasakan hal serupa.

 

MK: Tapi, bagaimana dengan jurang antara dirinya dengan pencerita itu? Apabila Mariye mula bertanya kepada dia tentang payudaranya, apakah kamu fikirkan juga bagaimanakah caranya lelaki itu harus merespon?

 

HM: Saya tahu apa yang kamu sedang cakapkan. Tapi hakikat bahawa Mariye meminta pandangan lelaki itu tentang payudaranya adalah menunjukkan bahawa dia tidak melihat lelaki itu sebagai seorang lelaki. Dia tidak mengiktiraf lelaki itu sebagai objek seksual. Perkara ini memperkuatkan sifat kefalsafahan buat dialog mereka. Begitulah jenis hubungan yang Mariye mahukan daripada lelaki itu. 


Saya rasa Mariye sudah lama mencari seseorang yang dia boleh tanyakan mengenai hal sebegitu. Saya rasa kita boleh bersetuju bahawa, secara umumnya, jika kamu melihat suatu peluang untuk menjadi sebuah objek seksual di mata seseorang, kamu tidak akan mulakan perbualan dengan bertanyakan mengenai bagaimana payudara kamu tidak membesar, atau betapa kecilnya puting yang kamu ada.

 

MK: Saya faham maksud kamu, walaupun sebenarnya saya melihat kebarangkalian yang lain pula. Sebabnya, Mariye mulakan perbualannya dengan cara yang membuatkan lelaki itu melihatnya secara seksual. Tetapi kamu katakan bahawa situasi itu bebas daripada sebarang ketegangan seksual di antara mereka, dan menguatkan aspek kefalsafahan dalam interaksi mereka?

 

HM: Benar. Hasilnya, dialog antara Mariye dan pencerita tersebut menjadi salah satu penggerak kepada novel ini. Pertukaran pandangan mereka membawa sinar baru kepada cerita itu.

 

MK: Dengan kata lain, perbualan tersebut memberikan informasi tambahan kepada kita tentang keperibadian dan gelagat pencerita – yang sebaliknya akan terus kekal misteri kepada pembaca.

 

HM: Betul. Pencerita tersebut merupakan seseorang yang seorang perempuan berusia 12 tahun akan merasa selesa untuk bercakap dengannya tentang payudara. Dia memiliki sejenis personaliti yang sebegitu.

 

MK: Perkara itu membawa saya kepada persoalan lain pula mengenai wanita dalam novel-novel kamu; sesuatu yang sering timbul apabila bercakap tentang karya kamu. Saya memikirkan tentang cara wanita digambarkan, dan peranan yang diberikan kepada mereka. Kawan-kawan perempuan saya selalu berkata kepada saya, “Jika kamu sangat sukakan karya-karya Haruki Murakami, bagaimana kamu boleh benarkan caranya menggambarkan wanita?” Tanggapan tersebut menunjukkan ada sesuatu yang menimbulkan kesangsian tentang gambaran wanita dalam cerita-cerita kamu. Ia menjengkelkan sesetengah orang – lelaki dan wanita.

 

HM: Oh ya? Bagaimana tu?

 

MK: Ia tidak realistik, atau tidak menggambarkan “kehidupan sebenar wanita.” Ianya lebih berkaitan dengan peranan yang mereka mainkan. Sebagai contoh, seperti yang kita katakan sebelum ini, wanita berfungsi sebagai peramal yang baik, kerana dia dijadikan untuk bertindak sebagai perantara nasib.

 

HM: Dia memegang tangan anda dan memimpin anda ke suatu tempat.

 

MK: Tepat. Dia mencetuskan suatu metamorfosis terhadap protagonis. Terdapat banyak contoh di mana perempuan digambarkan sebagai pintu gerbang, atau peluang bagi perubahan.

 

HM: Sudah tentu, saya dapat lihat terdapatnya elemen-elemen yang sebegitu.

 

MK: Dalam perubahan sebegini, selagi mana seks dianggap sebagai jalan kepada sebuah tempat yang tidak dikenali, maka wanita yang berhadapan dengan seorang protagonis heteroseksual secara dasarnya tiada pilihan melainkan berperanan sebagai teman seksual. Dengan melihatnya dari sudut tertentu, saya fikir ramai pembaca akan berpandangan bahawa wanita selama-lamanya memang berada dalam situasi itu – yang terpaksa memainkan peranan sebagai terlalu seksual hanya kerana mereka ialah seorang wanita. Saya mahu mendengar pandangan kamu mengenainya.

 

HM: Saya tidak tahu sama ada saya faham atau tidak. Apabila kamu katakan tentang lebih daripada peranan yang diperlukan, maksud kamu....?

 

MK: Saya bercakap tentang sejumlah besar watak wanita yang wujud semata-mata untuk memenuhi fungsi seksual. Pada satu sisi, karya kamu adalah sangat imaginatif apabila melibatkan tentang plot, sumur, dan lelaki. Tetapi hal yang sama tidak berlaku apabila berkaitan hubungan mereka dengan wanita. Tidak mungkin wanita ini wujud dengan sendiri. Ketika protagonis wanita (atau malahan watak-watak sokongan sekalipun) mungkin menikmati tahap ekspresi diri yang sederhana – berkat kebebasan relatif mereka – ada kecenderungan yang berterusan untuk wanita dikorbankan demi watak utama lelaki. Jadi persoalannya, mengapa wanita seringkali wujud untuk memainkan peranan sebegini dalam novel-novel Murakami?

 

HM: Sekarang saya faham. Baik.

 

MK: Jadi, boleh kamu kongsikan pandangan kamu tentangnya?

 

HM: Jawapan saya mungkin belum cukup memuaskan, tetapi saya tidak fikir mana-mana watak saya adalah serumit begitu. Tumpuan saya adalah terhadap interaksi antara mereka, atau bagaimana mereka ini – kedua-dua lelaki dan wanita – terlibat dengan dunia yang mereka diami. Jika ada, saya sangat berhati-hati untuk tidak terlalu memikirkan tentang makna kewujudan, kepentingan, atau akibatnya.

 

MK: Faham.

 

HM: Saya akan katakan bahawa 1Q84 adalah masa yang paling banyak saya habiskan untuk terlibat dengan watak wanita. Aomame amat penting kepada Tengo, dan Tengo amat penting bagi Aomame. Mereka kelihatannya tidak pernah bertemu, tetapi ceritanya bertumpu kepada gerak-geri mereka yang ingin bertemu di antara satu sama lain. Mereka berkongsi kedudukan mereka sebagai protagonis. 


Pada akhirnya, mereka berdua disatukan; dua menjadi satu. Tiada apa-apa yang erotik sehingga ke babak akhir. Bagi hal sebegitu, saya akan katakan bahawa mereka berdua adalah setara – dalam skema novel yang luas – kerana buku itu bergantung terhadap mereka berdua dalam ukuran yang sama. 

 

MK: Novel kamu yang lebih panjang selalu berkisar tentang beberapa jenis pertempuran dalam melawan kekuasaan yang lebih besar. The Wind-Up Bird Chronicle mempertandingkan Toru dan Kumiko Okada melawan Noboru Wataya, dan 1Q84 memiliki Aomame dan Tengo melawan kuasa jahat yang hebat. Persamaan bagi kedua-dua novel ini adalah lelaki itu bertarung di alam bawah sedar. 

 

HM: Kalau kamu katakan begitu, ya, sudah tentu. Mungkin ini adalah soal peranan jantina biasa yang diterbalikkan. Bagaimana kamu melihatnya dari perspektif feminis? Saya sendiri tidak pasti.

 

MK: Kalau baca karya kamu, selalunya watak-watak lelaki kamu akan berjuang dengan perlawanan mereka secara bawah sedar, yang secara tersiratnya, meninggalkan wanita untuk bertempur di dunia nyata. Sebagai contoh, dalam The Wind-Up Bird Chronicle, Kumiko lah yang mencabut plug sistem sokongan hayat, membunuh Noboru Wataya, dan kemuncaknya dia membayar harganya. Dalam 1Q84, Sang Pemimpin dibunuh oleh Aomame. 


Memanglah tidak perlu pun untuk terapkan kritikan feminis kepada setiap novel, dan mengejar kejujuran bukanlah alasan bagi mana-mana penulis untuk beralih kepada fiksyen. Tetapi apabila membaca buku-buku ini daripada perspektif feminis, reaksi lazim akan muncul seperti, “Okay, ini ada seorang lagi wanita yang darahnya telah ditumpahkan demi kesedaran diri seorang lelaki.” 

 

Kebanyakan wanita di dunia nyata mempunyai pengalaman di mana menjadi seorang wanita menyebabkan kehidupan itu adalah sesuatu yang tidak boleh didiami. Seperti mangsa serangan seksual, mereka pula yang dituduh sebagai penyebab kepada berlakunya perkara sebegitu. Lantas ia membuatkan seorang wanita merasa bersalah kerana memiliki tubuh badan seorang wanita sebagai sama dengan menafikan kewujudan dirinya. Mungkin ada sesetengah wanita di luar sana yang tidak berfikiran sedemikian. 


Tetapi, mereka telah ditekan oleh masyarakat untuk menyekat perasaan mereka. Sebab itu sangatlah meletihkan untuk melihat corak sebegini muncul dalam karya fiksyen; suatu peringatan tentang bagaimana wanita dikorbankan demi kesedaran diri lelaki atau keingingan seksual.

 

HM: Saya rasa mana-mana gaya pun adalah suatu kebetulan. Sekurang-kurangnya, saya tidak pernah menetapkan perkara seperti itu dengan sengaja. Saya rasa ada kemungkinan untuk sesebuah cerita itu bergerak seperti itu, iaitu pada tahap bawah sedar. Bukanlah hendak meremehkan, tetapi tulisan saya tidak mengikut sebarang skema yang jelas. 


Contohnya novel Norwegian Wood, di mana Naoko dan Midori masing-masing bergelut dengan kewujudan sedar dan bawah sedar mereka. Pencerita lelaki pertama terpikat dengan mereka berdua. Dan dia mengancam untuk membelah dunianya kepada dua. Kemudian ada After Dark; cerita ini didorong hampir secara eksklusif dengan menurut kehendak watak wanita. Jadi, saya tidak bersetuju bahawa wanita sentiasa terperangkap dengan peranan sokongan sebagai peramal seksual atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengannya. 


Sekalipun saya terlupa jalan ceritanya, tetapi wanita-wanita ini tetap bersama dengan saya. Seperti Reiko atau Hatsumi dalam Norwegian Wood; sampai sekarang pun apabila saya fikir tentang mereka, saya menjadi terharu. Wanita-wanita ini bukan sekadar instrumen novel kepada saya. Setiap kerja individu memerlukan persekitarannya tersendiri. Saya tidak mencipta alasan. Saya bercakap daripada perasaan dan pengalaman sendiri.

 

MK: Saya faham apa yang kamu maksudkan. Saya sendiri sebagai seorang pengarang, saya benar-benar melalui apa yang kamu maksudkan dengan perasaan. Dalam masa yang sama, saya dapat melihat bagaimana pembaca mungkin tidak memahami jenis pengalaman pembacaan seperti yang kita sedang bincangkan. Ada sesuatu yang sangat penting kepada saya tentang apa yang kamu perkatakan, iaitu idea yang menurut pandangan kamu, bahawa wanita boleh keluar daripada keseksualan (sexualization) atau wujud sepenuhnya yang bebas daripada ranah itu, dan membawa cerita kepada sebuah hala tuju yang sama sekali berbeza.

 

HM: Benar. Saya rasa wanita memiliki fungsi yang agak berbeza daripada lelaki. Mungkin ianya klise, tetapi beginilah caranya lelaki dan wanita bertahan – dengan menolong antara satu sama lain; menebus kekurangan yang lain. Adakala ianya bermaksud menukar peranan atau fungsi jantina. Saya fikir ia bergantung kepada orang itu dan menurut keadaan sekeliling mereka, sama ada mereka melihat perkara ini sebagai fitrah atau buatan; sebagai adil atau tidak adil; sama ada mereka melihat perbezaan gender sebagai melibatkan pertentangan yang nyata, ataupun berada dalam keseimbangan yang harmoni. 


Barangkali ia kurang berkait tentang kekurangan kita meskipun kita saling membatalkan antara satu sama lain. Dalam hal saya, saya hanya boleh tangani persoalan-persoalan rumit sebegini melalui fiksyen. Tanpa memintanya untuk menjadi positif ataupun negatif, perkara terbaik yang saya boleh lakukan adalah dengan mendekati cerita-cerita ini daripada dalam diri saya sebagaimana adanya. 


Saya bukannya seorang pemikir, atau pengkritik, ataupun aktivis sosial. Saya hanyalah seorang novelis. Sekiranya ada orang memberitahu saya bahawa karya saya tempang apabila dicerap melalui isme tertentu, atau boleh diterapkan lebih banyak pemikiran, apa yang saya boleh lakukan hanyalah menawarkan sebuah kemaafan ikhlas dan berkata, “Saya minta maaf”. Saya akan menjadi lelaki pertama yang meminta maaf.

 

MK: Dalam novel provokatif Raymond Chandler, wanita biasanya muncul dengan sebuah misi, atau sebuah pekerjaan yang perlu dilaksanakan oleh lelaki itu. Pada peringkat tertentu, karya kamu mesti diambil daripada cadangan tentang bagaimana wanita digambarkan dalam novel-novel yang kamu baca, lantaran apa yang kami baca adalah sangat memberi pengaruh terhadap apa yang kamu tulis. Tapi, daripada semua wanita yang kamu telah tulis, yang paling kekal bersama saya ialah pratoganis dalam cerpen Sleep (The Elephant Vanishes, 1993). Saya telah membaca banyak watak wanita yang ditulis oleh wanita dan watak wanita yang ditulis oleh lelaki. Tetapi sehingga ke hari ini, saya tidak pernah bertemu dengan wanita seperti watak dalam Sleep. Ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

 

HM: Cerpen tersebut diterbitkan di New Yorker, pada ketika saya menjadi seorang penulis yang tidak dikenali di Amerika. Kebanyakan orang yang membacanya menyangka bahawa “Haruki Murakami” ialah seorang wanita. Saya sebenarnya telah menerima banyak surat daripada wanita yang berterima kasih kepada saya kerana menulisnya dengan baik. Saya tidak pernah mengalami hal sebegitu sebelum ini.

 

MK: Betulkah jika saya katakan bahawa Sleep merupakan kali pertama kamu menulis tentang sebuah cerita daripada perspektif wanita?

 

HM: Ya, saya rasa ianya betul.

 

MK: Apakah peristiwa yang membuatkan kamu ingin beri tumpuan kepada watak wanita? Adakah ia berlaku dengan sendirinya?

 

HM: Saya menulis cerpen itu ketika saya tinggal di Rome. Saya tidaklah betul-betul mengalami gangguan saraf. Tetapi saya sangat gelisah dengan publisiti yang mengelilingi Norwegian Wood, yang merupakan buku terlaris di Jepun. Saya rasakan hal itu sudah cukup buat diri saya, dan saya mahu lari ke dunia lain. Jadi, saya tinggalkan Jepun pergi ke Itali dan mendiamkan diri buat seketika. Saya agak kemurungan yang menyebabkan saya tidak mampu untuk menulis. Tetapi pada suatu hari, saya rasa mahu tulis sesuatu sekali lagi. Pada ketika itulah, saya menulis TV People dan Sleep. Saya masih ingat pada ketika itu ialah musim bunga. 

 

MK: Cerpen mana yang kamu siapkan dulu? TV People?

 

HM: Saya rasa TV People siap lebih awal. Saya tengok salah satu muzik Lou Reed di MTV, dan saya sangat terinspirasi lantas saya menulisnya sekaligus. Kemudian saya beralih kepada pencerita wanita untuk Sleep. Itu merupakan cara terbaik untuk saya luahkan apa yang saya rasa pada ketika itu. Saya mahukan sedikit jarak, mungkin juga daripada diri saya sendiri. Barangkali sebab itulah saya pergi dengan seorang pratoganis wanita. Daripada apa yang saya boleh ingat, rasanya saya menulis dengan agak cepat juga. 

 

MKSleep adalah menakjubkan. Tidak dapat tidur adalah seperti hidup di dunia yang tidak wujudnya kematian. Kegelisahan sebagai tekanan dalam bentuknya yang lain tidak pernah reda walau seketika. Ia merupakan metafora sempurna bagi kewujudan seorang wanita. Saya andaikan bahawa kamu mengambil masa selama beberapa hari untuk menulis? Memandangkan ia merupakan sebuah cerpen. 

 

HM: Sudah tentu, tapi saya boleh katakan yang cerpen itu mengambil masa selama seminggu untuk ditambah baik.

 

MK: Saya tahu bahawa saya telah habiskan masa selama beberapa hari untuk membaca Sleep baris demi baris. Saya tidak pernah membaca seorang wanita seperti itu sebelum ini. Sebagai seorang wanita, saya rasa gembira untuk bertemu dengan “wanita baru” dalam sebuah teks. Lebih mengejutkan lagi adalah ia ditulis oleh seorang lelaki. Membacanya merupakan suatu pengalaman indah buat saya. Daripada semua watak wanita dalam karya fiksyen kamu, wanita dalam Sleep telah mengatasi semua watak yang lain bagi saya. 


Sebagai seorang feminis, apabila saya menemui watak ini, ia mewujudkan rasa percaya di antara saya dengan karya kamu – dan rasa percaya yang luar biasa pada ketika itu. Dari segi praktikal, ini bermakna keyakinan dalam penulisan, dalam kata-kata itu sendiri...Saya tahu bahawa kamu telah melakukan terjemahan bahasa Jepun terhadap cerpen-cerpen yang ditulis oleh penulis wanita Grace Paley, jadi mungkin terdapat beberapa jenis tautan di situ; dari segi cara kamu mencipta watak-watak wanita. 

 

HM: Tidak semestinya. Saya memutuskan untuk menterjemah fiksyen Grace Paley kerana saya rasa ia sangat menarik. Saya tidak begitu sedar bagaimana dia menggambarkan wanita. Apabila saya menulis Sleep, saya cuma menulis tentang apa-apa sahaja yang saya fikirkan; dengan memikirkan apa yang akan jadi kepada diri seseorang wanita di bawah keadaan-keadaan tersebut. Kebetulan penceritanya itu ialah seorang wanita pada masa itu. Saya tidak membuat sebarang usaha sedar untuk meneroka minda wanita.

 

MK: Apabila menulis tentang watak seorang wanita, terdapat motif tertentu yang boleh digunakan untuk memuaskan keinginan pembaca lelaki atau wanita tentang apa yang menjadikan seorang wanita boleh dipercayai. Tetapi hal sebegitu tidak terdapat dalam cerita ini.

 

HM: Kecuali pada penghujungnya, apabila dia meletakkan keretanya di tepi pantai pada waktu malam. Ada satu babak, saya sangat sedar bahawa watak utamanya ialah seorang wanita. Dua orang lelaki mengelilingi kereta wanita itu pada waktu malam yang gelap dan menggoncang kereta tersebut. Keadaan itu pastinya sangat menakutkan.

 

MK: Pastinya perkara itu sangat menakutkan untuk seorang lelaki juga. Tetapi mungkin lebih menakutkan lagi untuk seorang wanita.

 

HM: Dalam setiap aspek yang lain, saya menulis watak untuk menjadi seorang manusia tanpa benar-benar menyedarinya sebagai seorang wanita.

 

MK: Baik. Saya rasa cara ini mewujudkan jarak, memberi tumpuan kepada manusia – kerana itulah aspek manusia bagi watak manusia – yang menjelaskan kedudukannya sebagai seorang wanita; sekurang-kurangnya dalam fikiran saya. Saya tidak pernah membaca wanita yang sebegitu di tempat lain. Sebuah cerita yang indah.

 

HM: Kalau difikirkan semula, saya rasa lebih baik kalau watak utamanya ialah seorang suami sebagai suri rumah dan isteri sebagai seorang doktor wanita atau doktor gigi; dan suami tidak boleh tidur dan berjaga sepanjang malam, memasak dan mencuci pakaian atau apa yang ada. Masih, ia mungkin akan berbeza dalam beberapa cara, saya rasa.

 

MK: Saya fikir, penting untuk pasangan tersebut memiliki seorang anak lelaki. Sebab perempuan yang melahirkan anak. Kesedaran tentang perkara ini memberikannya rasa putus asa dengan perkara yang tidak dapat dikongsikan oleh bapanya. 

 

HM: Dia juga merasa benci terhadap suaminya. Saya rasa kebencian semacam itu adalah unik buat wanita.

 

MK: Ianya lebih daripada sebuah kebencian, tetapi pasti ada sesuatu di situ.

 

HM: Ya. Kadang-kadang apabila saya berjalan di sekeliling rumah, saya dapat rasakannya berada di sekeliling saya; dan perasaan itu ada di segenap ruang bilik.

 

MK: Saya boleh terima perasaan itu bila-bila sahaja. Tapi kalau melibatkan perkahwinan, ia umpama banjir kilat! Jadi, saya memikirkan tentang bagaimana anak lelaki dan ayahnya tersebut digambarkan melakukan perkara yang sama, seperti cara mereka melambai kepada wanita itu. Disebabkan kamu tidak perincikan kebencian tersebut, maka pembaca perlu memahaminya sebagai sensasi yang tidak boleh dinamakan. Menggambarkannya sebagai seseorang yang membaca Anna Karenina adalah suatu bentuk keprihatinan yang bagus juga.

 

HMAnna Karenina – satu lagi contoh klasik tentang kebencian terhadap seorang suami. Mungkin Tolstoy, dalam kehidupan di rumahnya, merasakan ketegangan yang sama meresap ke dalam bilik.

 

MK: Kamu telah menulis banyak watak lelaki dalam kerjaya kamu. Tetapi adakah kamu terfikir bahawa mungkinkah dalam buku-buku yang akan datang, akan ada contoh-contoh watak wanita seperti Menshiki dalam Killing Commendatore, yang agak misteri atau tidak dikenali; watak yang membuatkan kamu berkata, “Wah, ini hal yang baru”? Atau adakah kamu rasa watak wanita akan terus memainkan peranan mitologi seperti ini, yang lebih kepada fungsi pragmatik?

 

HM: Saya akan terus mencipta watak-watak baharu, berbeza daripada watak-watak sebelum ini, yang pastinya juga terpakai terhadap wanita. Seperti Shoko Akigawa – sebagai contoh – yang mungkin merupakan watak sokongan, tetapi menurut saya dia merupakan sebuah kelainan daripada kebanyakan watak yang saya pernah tulis. Ada sesuatu yang sangat istimewa mengenainya kepada saya. Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang dirinya. Saya rasa seperti saya hanya melakar wataknya secara permukaan. 

 

MK: Saya ingin tahu apa yang dia baca. Apa yang kamu fikir ada di meja malamnya? Novel yang paling provokatif dia boleh temui? Saya sangat ingin mengetahuinya. Seperti, apabila dia duduk dengan sebuah buku, apa yang akan jadi? Saya tak mahu pergi dengan lebih lanjut lagi.

 

HM: Mungkin sesuatu yang epik, seperti, Romance of the Three Kingdoms.

 

MK: Shoku adalah watak yang sukar, kan? Sesetengah novel memberikan semua butiran watak perempuannya kepada kita; gaya rambutnya, pakaiannya...seperti di Chandler, di mana kali pertama kita lihat seorang wanita, kita sudah mendapat penerangan mengenainya daripada kepala hingga ke kaki; ia memberikan gambaran yang jelas kepada kamu mengenai dirinya. Dalam novel kamu, sesebuah perwatakan ada kecenderungan untuk bermula dengan butiran-butiran kecil mengenai pakaian. Kamu pergi ke mana untuk mendapatkan maklumat tentang pakaian wanita?

 

HM: Saya tidak pergi ke mana-mana. Saya cuma tulis apa yang saya fikirkan. Saya tidak habiskan masa saya dengan meneliti perkara sebegitu. Semasa saya membentuk imej watak seorang wanita, apa yang dia pakai secara semulajadinya mendapat tempatnya. Walaupun saya akan katakan..mungkin saya memberi perhatian yang teliti terhadap pakaian wanita dalam kehidupan sebenar. Saya sendiri merupakan seorang pembeli. 

 

MK: Isteri dalam Tony Takitani (Blind Willow, Sleeping Woman, 2002) merupakan seorang pembeli yang tegar, di mana dia pada akhirnya mati dalam kemalangan kereta. Setiap kali dia berfikir mengenai pakaian, dia akan menggeletar; suatu perincian yang saya sangat suka. Sepanjang kita berbual ini, saya teringat tentang pelbagai watak wanita yang kamu tulis. Saya tidak akan katakan bahawa semua wanita itu sesuai dalam satu kategori. Walaupun sudah tentu, menulis watak seorang wanita adalah tidak sama dengan menjadikannya penting terhadap cerita tersebut. 

 

HM: Sejujurnya, saya tidak faham idea tentang wujudnya apa-apa jenis corak. Kita boleh bercakap mengenai wanita dalam novel-novel saya sebagai satu kelompok. Tetapi bagi saya, mereka ialah individu yang unik, dan pada tahap fundamental – sebelum saya melihat mereka sebagai seorang lelaki ataupun wanita – saya melihat mereka sebagai seorang manusia. Tetapi, ketepikan dahulu semua itu, bagaimana dengan isteri dalam The Little Green Monster (The Elephant Vanishes, 1993)? Dia seorang yang menakutkan, bukan?

 

MK: Ya, ada dia juga.

 

HM: Saya sedang meneroka sejenis kekejaman yang nampaknya dimiliki oleh wanita. Saya dapat rasakannya apabila ia ada, tetapi tidak mendapat akses kepadanya. Saya tidak mahu menghadapi masalah kerana kembali kepada perbezaan antara gender, tetapi saya rasa kekejaman seperti ini jarang berlaku kepada lelaki. Lelaki sudah tentu boleh menjadi kejam, tetapi saya fikir cara mereka lakukannya adalah dengan cara yang lebih tersusun. Mereka datang kepada kamu dengan logika, atau seperti seorang psikopat. Tetapi kekejaman wanita adalah lebih biasa; berlaku pada setiap hari. Sekarang dan kemudian nanti, mereka tangkap anda tanpa anda sedari. Yang mengejutkan adalah, ramai pembaca wanita nampaknya menikmati The Little Green Monster. Atau mungkin itu tidak mengejutkan sama sekali?

 

MK: Ya, ramai kawan saya sukakan cerita itu. Saya pun suka juga. Tapi, bagaimana ya saya boleh letakkan perkara ini? Ia adalah seperti ketakutan yang tidak didaftarkan sebagai menakutkan, yang membolehkan pembaca untuk menerimanya sebagai perkara biasa. Ianya sejenis kekejaman yang lazim.

 


P/s: Tulisan ini adalah terjemahan bebas daripada saya. Transkrip wawancara asal yang bertajuk A Feminist Critique of Murakami Novels, With Murakami Himself boleh diakses di [sini]



Comments