BEBERAPA BUAH CATATAN DARIPADA DIARI SEPUTAR PRU-15


(i)
Sejarah PRU-14 adalah rahmat untuk demokrasi Malaysia. Sekurang-kurangnya ada tiga kelebihan daripada PRU-14:

  1. Bahawa tidak ada masalah pun untuk bertukar kerajaan, meskipun kerajaan lama sudah memerintah selama 60 tahun. Perubahan kerajaan adalah proses biasa dalam demokrasi. Cuma rejim lama telah menanam doktrin ketakutan kepada rakyat demi membenamkan kesedaran mereka tentang hak memilih pemerintahan yang baik.
  2. Majoriti parti politik utama negara sudah merasai sendiri memerintah kerajaan persekutuan. Rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana kemampuan dan ketelusan mereka dalam pentadbiran. Retorik yang didengungkan berdekad-dekad lamanya mula teruji.
  3. Rakyat mulai sedar tentang hak-hak mereka dalam negara demokrasi dan kebobrokan rejim lama. Kesedaran itu membangkitkan kekuataan dan keberanian mereka untuk bersuara dan mula membuka mata tentang permasalahan sistemik yang mereka alami selama ini.
Kita wajar bersikap pada PRU-15 ini untuk mengembalikan makna demokrasi kepada makna asasnya, iaitu dēmos (rakyat) dan kratos (kuasa/perintah), yang membawa maksud “diperintah oleh rakyat”. Dalam sistem demokrasi perwakilan, rakyat memilih wakil mereka untuk mengurus pentadbiran dan hasil mahsul negara. Maka, tidak sepatutnya wakil lantikan itu tiba-tiba menjadi elitis sombong pula apabila sudah duduk di atas kerusi empuk dan bilik berhawa dingin. Dan lagi tidak patut pula kalau wakil lantikan itu jadi hamba kepada kekuasaan dan kemewahan dengan meluluskan projek-projek kroni, membuncit dengan duit-duit kopi ataupun bersikap tidak peduli.
Kuasa elitisme yang mereka ada itu sendiri adalah mandat dan daulat daripada rakyat. Maka, rakyat adalah masyarakat sivil yang berhak menjadi pemantau dan pengimbang terhadap segala gerak kerja wakil-wakil yang telah menjadi pemimpin itu supaya nilai ketelusan, amanah, bertanggungjawab, dll itu dipastikan terus wujud dalam kepimpinan mereka.
Kalau mereka melanggar amanah rakyat dengan mencuri hasil mahsul rakyat, menyalahgunakan kuasa, tidak hadir ke parlimen atau dewan undangan negeri, tidak mahu mempermudahkan urusan rakyat, tidak berwawasan serta tidak cekap dalam urusan pentadbiran, maka rakyat harus tegas untuk menghukum mereka.

(ii)
Saya teringat kepada kitab siasah terbaik Melayu, kitab Tajus Salatin karangan Bukhari al-Jauhari pada kurun ke-17. Bahkan saya rasa Tajus Salatin adalah lebih baik lagi daripada kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan Imam al-Mawardi dan Siyasah Syar'iyyah karangan Ibn Taimiyyah yang mahsyur itu. Dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah, Munshi Abdullah pernah menasihati raja Kelantan pada ketika itu untuk membaca kitab ini dengan katanya,
“Maka sebab itu, patutlah segala raja-raja itu menaruh kitab Tajus Salatin (ertinya, Mahkota Segala Raja-Raja) dan menilik akan dia pada tiap-tiap hari dan mencari orang yang tahu belajar daripadanya dan menerima segala nasihat orang yang ‘alim suapya boleh Tengku ketahui hal segala raja-raja yang ‘adil dan yang zalim.”
Bahkan ianyalah kitab yang paling terbaik untuk diwacanakan, kerana latarnya adalah dari pengalaman sejarah nusantara sendiri, justeru segala nasihat dan sindirannya sangat dekat dengan konteks kebudayaan sejarah kita. Tentang isi kitab itu, ianya tidak sekadar tentang nasihat kepada raja-raja, bahkan kepada para menterinya sekali dalam urus tadbir negeri.
Kata Bukhari al-Jauhary, syarat seorang raja itu hendaklah adil dengan merasakan kedudukan dirinya seperti pengadu masalah, dan syarat lainnya adalah raja hendaklah sedia menerima aduan rakyat dan mengalu-alukan kedatangan rakyat. Manakala syarat menteri pula antara lainnya adalah menegur kesilapan raja, jangan sombong kerana pangkatnya, dan jangan mengasari rakyat.
Berbeza amat ketajaman dan ketepatan nasihat sebuah kitab tasawwuf namun tidak sedikit pun meninggalkan faham tentang makar siasah. Lantas, hubungan di antara pemimpin dan rakyat dibicarakan dalam bentuk hubungan kebersamaan, bukannya hubungan hierarki. Apabila dibincangkan dalam bentuk hubungan kebersamaan, maka kedudukan seorang pemimpin itu didudukkan setara dengan rakyat jelata dan tiada istimewanya sedikit pun melainkan sepikul amanah yang harus dilunaskan dengan adil dan bertanggungjawab.
Amat baik sekali jika pesan-pesan siasah juga dipetik daripada kitab Tajus Salatin ini di mana-mana, dan tidak sekadar daripada kitab-kitab siasah daripada ketamadunan lain.

(iii)
Demokrasi di peti undi adalah tentang kekuasaan -- kuasa kehendak rakyat dalam memilih pemimpin, dan kuasa penguasa untuk menguasai pentadbiran. Sebab itu rakyat harus faham betul tentang apa kuasa yang ada pada diri mereka sebaiknya. Jika kuasa rakyat di peti undi tidak dimanfaatkan sebaiknya, kelak kuasa itu akan lebih mengendur lagi dan kemudian terbungkam andai penguasa yang dilantik mula bermaharaja lela. Dan ruang kekuasaan rakyat itu adalah di ranah awam (public sphere) yang sepatutnya adalah milik mereka.
Tetapi perihal ranah awam (public sphere) seringkali diabaikan daripada wacana-wacana tentang demokrasi. Ranah awam ini adalah milik rakyat, dan kata Jurgen Habermas dalam bukunya, The Structural Transformation of the Public Sphere, “…dijadikan untuk manusia berkumpul bersama-sama sebagai sebuah masyarakat awam dalam membincangkan tentang keperluan-keperluan masyarakat dengan kerajaan….”
Ranah awam ini secara mudahnya adalah bermaksud ruang untuk masyarakat berhimpun dan terlibat dalam sebarang wacana yang melibatkan kepentingan bersama bagi membentuk pandangan awam (public opinion) untuk mempengaruhi keputusan politikal. Ranah awam itu boleh wujud di dewan masyarakat, balai raya, warung, kafe, taman, jalanan, bahkan di media sosial sekalipun. Bahkan inilah tempat-tempatnya di dalam sejarah yang sentiasa menjadi pemula perubahan kepada sesebuah kerajaan. Ini ruang yang memberi kebebasan untuk rakyat berdiskusi dan berwacana serta meluahkan rasa, dan ini hak demokratik rakyat yang sepatutnya tidak boleh diganggu gugat oleh penguasa.
Ranah awam adalah ruang demokrasi rakyat yang harus dimanfaatkan sebagai proses pencerahan. Sebab itu perubahan negara tidak akan bertambah baik melalui institusi. Institusi adalah instrumen kekuasaan penguasa yang - menurut Foucault - sebagai menara pemerhati untuk mengawal tingkah laku rakyatnya. Birokrasi di institusi dicipta untuk menstabilkan kekuasaan penguasa dengan mendiamkan suara-suara rakyat.
Perubahan hanya akan berlaku melalui kekuasaan marhaen dengan wacana dan solidariti di ruang awam. Maka, apabila institusi-institusi pendidikan menghalang Fahmi Reza untuk menawarkan kelas percuma tentang demokrasi, ia bukanlah suatu kepelikan kerana birokrat adalah sangat jarang hendak membela kepentingan masyarakatnya, walhal apa yang Fahmi Reza lakukan itu adalah proses pendidikan namun ironinya dihalang di institusi pendidikan itu sendiri. Sebab itu pada akhirnya ruang awam seperti di kedai makan, kafe, dan dewan awam juga adalah ruang selamat untuk pendidikan pencerahan.
Proses literasi politik itu harus berterusan, daripada kawasan urban hinggalah ke pedalaman. Lebih 60 tahun kita terperangkap dalam dogma politik yang berasaskan perkauman dan keagamaan, sedangkan kita adalah masyarakat kosmopolitan yang hidup bersama melampaui batasan identiti, seperti baris puisi Hidup Bersama oleh A. Samad Said:
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

(iv)
Meskipun tidak dinafikan bahang PRU terasa di lapangan, tetapi bahang perang kempen lebih-lebih lagi terasa di dunia siber. Para cytro daripada semua parti bekerja keras untuk menyebarkan propaganda, sama ada dengan cara bersih ataupun kotor. Cuma, ada satu perkara yang saya perasan: Disebabkan korupsi adalah suatu isu yang sangat besar semenjak PRU-14, maka cara cytro bekerja bagi menyucikan parti-parti yang dipalitkan dengan isu rasuah adalah dengan menggunakan istilah berkaitan rasuah seperti kronisme, nepotisme, kleptokrasi, dll dengan semberono.
Mereka akan melabel lawan politik dengan istilah-istilah sebegitu meskipun konsep dan konteksnya adalah tidak tepat. Makna sebenar istilah korupsi dirosakkan sehingga masyarakat salah faham, supaya perlawanan masyarakat kelak berdiri di atas prinsip yang keliru. Ini yang bahaya apabila konsep ilmu ditunggang terbalikkan oleh golongan cytro yang mewakili kepentingan politikus ini.
Maka, hati-hati - di sinilah letaknya sikap yang wajar dimainkan oleh ahli akademik yang jujur dalam mendidik masyarakat kepada kefahaman yang sebenar tentang hal-hal seperti korupsi dan demokrasi. Ini perjuangan sebenar ilmuwan jika benar-benar ikhlas hendak membetulkan institusi pendidikan negara, iaitu dengan mempertahankan hak rakyat untuk mendapat pencerahan ilmu yang tulen dan membetulkan segala kekeliruan ilmu yang disebarkan oleh propaganda politik.

(v)
Meskipun saya kelihatan skeptikal dengan institusi, tetapi ianya adalah atas dasar saya kritis terhadap pengurusan birokrat dalam mentadbir institusi, yang saya sedar tidak akan pernah terlepas daripada kehendak penguasa. Kritikaliti ini harus berterusan dan dilakukan oleh semua orang, supaya perubahan ke arah institusi yang lebih baik itu akan berlaku. Jika tidak, status quo yang membiarkan kitaran kebobrokan institusi dan para pemain di dalamnya tidak akan pernah berhenti.
Saya masih optimis dengan pilihan raya. Sebab pilihan raya adalah ruang untuk rakyat untuk memilih kepimpinan yang terbaik. PRU-14 adalah kayu ukurnya, dan PRU-15 ini adalah keputusan yang terlahir daripada proses kematangan yang terbina selama 4 tahun melihat bangun jatuh kerajaan sehingga bertukar Perdana Menteri sebanyak 3 kali. Harus ada proses “unlearn” dan “relearn” untuk keluar daripada dogma rejim lampau agar keputusan kita untuk PRU-15 ini adalah atas dasar cerapan dan kehendak kita demi hala tuju demokrasi Malaysia yang mendatang.
Selamat mengundi, dan hapuskan korupsi!

Comments