Monolog: Kopi
(1) Aroma seduhan kopi tidak pernah leka menyediakan kenangan sebagai hidangan minum pagi. Kenangan adakala mewarnai pagi menjadi kuntum melati, tapi seringkali menguncup dan meluka dihiris tajamnya duri mawar.
(2) Bau bijian Arabica menggoda seribu kata untuk tumpah menjadi puisi, tapi ternyata malam telah runtuh menimpa nasibnya dan kata-kata berderai menjadi kaca yang menambah luka. Sesudah itu, puisi memejamkan matanya dan luka membekas menjadi parut yang terus meninggalkan sisa.
(3) Barangkali kopi boleh menjadi Latte, Mocha, dan Cappucino, tapi apakah yang paling suci selain daripada hirupan sepahit rasa aslinya dengan renungan tajam terhadap penderitaan kenalan kita yang barangkali telah sengsara pahitnya tidak bergaji dan melalui hari-hari kurungan yang memeritkan.
(4) Seorang Balzac mungkin terdaya hendak menghirup 50 cawan kopi pada setiap hari, tapi akhirnya dia terpaksa mengakui kecanduan kopi menimbulkan dahaga yang tidak biasa dan air liur bertukar menjadi helaian kertas di atas lidah. Tetapi dia tidak pernah peduli, kerana katanya, "coffee is a great power in my life." Sesudah itu, dia mati keracunan kopi sendiri.
(5) Ada jeda di antara kopi dan teh yang menjadikan rasa itu tertangguh untuk membuat pilihan. Pilihan sentiasa menawarkan kesempitan, tetapi keputusan harus sentiasa diberikan. Sesaat itu, aroma kopi menyalurkan irama Hans Zimmer menyeluruhi urat dan darah untuk dibawa berjalan ke arah dunia yang baharu dalam diri; andai ada pilihan ketiga untuk diketemu di sela duka dan luka.
(6) Sesudah itu, aroma kopi pun mati kehabisan isi meninggalkan kelat ke dasar cawannya.
Comments
Post a Comment