MELAWAN RASUAH DENGAN SENI


Dalam buku Rasuah: Sifat, Sebab Dan Fungsi, Syed Hussein Alatas telah menjelaskan dengan terperinci tentang rasuah sebagai punca utama kepada keruntuhan empayar Rom dan China. Rasuah mungkin bukanlah satu-satunya penyebab, tetapi pada akhirnya kesemua faktor tersebut akan berbalik dan bertumpu kepada punca rasuah yang menyebabkan segala-galanya musnah. Sosiologis ulung negara itu telah mendefinisikan makna rasuah dengan sistematik dan menyeluruh dalam menganalisis permasalahan rasuah supaya permasalahan ini dapat difahami sehingga ke akarnya. 


Sebabnya, apabila rasuah sudah menjadi budaya, maka ia mewujudkan suatu pemikiran pesimistik dalam kalangan masyarakat sehingga sampai pada tahap sikap pasrah yang kronik sehingga merasakan bahawa sesuatu kerja tidak dapat dilaksanakan dengan baik kalau tidak merasuah. Itulah kebimbangan terbesar yang wajar dirisaukan, kerana pembudayaan rasuah menyebabkan masyarakat menjadi pasif dan semua orang hidup dalam struktur birokrasi yang rosak lalu para apologis rasuah akan sentiasa mencanangkan rasuah sebagai suatu budaya hidup. 

 

Saya datangkan satu contoh rasuah daripada kehidupan seharian kita: Pernah atau tidak kita berbuat baik dengan seseorang, kerana jauh dari sudut hati kita ialah kita mengharapkan suatu keuntungan daripadanya pada masa hadapan? Kita bersahabat baik dengannya, lalu pada suatu masa kita meminta tolong daripadanya untuk memudahkan suatu urusan tanpa melalui proses birokratik yang betul dan dia menolong kita melanggar piawaian prosedur tersebut kerana terikat dengan tali persahabatan kita dengannya. Perkara tersebut sendiri adalah suatu bentuk rasuah yang Syed Hussein Alatas klasifikasikannya sebagai rasuah investif (investive corruption).

 

Itu satu contoh rasuah yang berlaku secara tidak langsung namun jarang orang hendak ambil cakna mengenainya. Tapi, apatah lagi pula sekiranya rasuah itu adalah melibatkan soal urusan birokratik seperti dia pejabat-pejabat kerajaan atau dalam soal urusan seharian. Perkara itu adalah sesuatu yang lebih rumit, justeru sepatutnya masyarakat harus sentiasa disedarkan tentang perkara ini mengenai hak-hak mereka yang sepatutnya dilayan secara sama rata tanpa diganggu dengan budaya rasuah untuk melicinkan sebarang urusan. Negara kita sebetulnya sudah ada mekanisme kawalan ini melalui kewujudan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi sekiranya mentaliti masyarakat masih di takuk lama, kerja-kerja pembasmian rasuah ini tidak akan tercegah dengan baik.

 

Proses pembasmian budaya rasuah ini bukan suatu perkara mudah sementelah ia berakar sudah lama di dalam sistem. Sekiranya kita merujuk makalah yang ditulis oleh Nor Hashimah Jalaluddin dan Rozaimah Rashidin yang bertajuk Rasuah Dalam Karya Sastera Melayu Klasik: Satu Analisis Semantik Kognitif, ternyata sebetulnya amalan rasuah ini sudah berakar umbi dalam masyarakat kita sejak dahulu kala lagi. Cukup perhatikan Sejarah Melayu sahaja, banyak sekali amalan rasuah itu wujud dan sebahagian besarnya adalah disebabkan sebagai urusan untuk memudahkan urusan di pelabuhan ataupun hendak merebut jawatan. 

 

Daripada rujukan itu sahaja sudah dapat memberi gambaran kepada kita bahawa amalan rasuah dalam kalangan masyarakat adalah sesuatu yang telah lama berlaku dan lama-kelamaan ia menjadi suatu pembudayaan yang menyebabkan masyarakat semakin kabur dalam menilai perbuatan yang manakah dianggap sebagai rasuah atau bukan rasuah. Sesebuah sistem birokrasi berjalan lebih mudah dengan merasuah justeru orang tidak lagi dapat memahami bahawa tindakan mereka selama ini sendiri adalah suatu perbuatan rasuah yang tidak mereka sedari. 


Sebab itulah akhirnya kita cuma akan melihat perkara ini sebagai serius sekiranya seseorang pemimpin negara telah menggelapkan hasil negara sehingga berbilion ringgit atau usaha lobi melobi ahli politik untuk lompat parti demi mencapai sokongan politik untuk membentuk kerajaan. Itu cuma sekadar hasil yang ekstrim, namun segala-galanya tidak bermula daripada situ melainkan bermula daripada diri kita sendiri. 

 

Proses penerapan nilai sosial itu adalah amat penting dalam membetulkan semula kefahaman masyarakat tentang pembudayaan rasuah supaya mereka dapat sedar daripada awal tentang kebobrokan amalan tersebut yang merosakkan sistem sosial. Dalam proses ini, saya ingin memberi tumpuan kepada kepentingan untuk penggerak seni dan budaya dalam memainkan peranan penting dalam menjayakan perkara ini. Sebabnya, karya seni adalah suatu medium untuk seorang pembaca, pendengar, atau penonton berkomunikasi dengan realiti sosial. Karya seni sentiasa akan menjadi gambaran kepada realiti sosial yang dihadapi, dan ia memberi isyarat kepada audien untuk memahami konflik sosial yang wujud untuk segera mereka fahaminya. 


Jadi, sekiranya karya-karya seni seringkali mengajukan permasalahan budaya rasuah ini sama ada dalam bentuk visual, vokal, ataupun tulisan, ia memberi suatu idea ke dalam gambaran audien tentang bentuk-bentuk rasuah yang mereka tidak sedar telah diamalkan selama ini. Peringkat kefahaman ini saja sudah cukup untuk mencetuskan perubahan sosial, kerana segala-gala yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada kejahilan sosial yang parah.

 

Dalam hal ini, saya sangat bersetuju dengan suatu kempen yang dipanggil sebagai Puisi Darurat yang digerakkan secara besar-besaran di media sosial oleh sekumpulan anak muda pada tanggal 17 Julai 2021. Dalam kempen tersebut, semua orang diseru untuk menulis puisi-puisi yang meluahkan kegelisahan dan kerisauan mereka terhadap kerajaan hari ini yang menguruskan isu kesihatan awam secara tidak cemerlang, yang kemudian ditutup dengan acara deklamasi secara beramai-ramai di dalam talian pada waktu malamnya. 


Gerakan seni ini menjadikan puisi sebagai alat perlawanan sosial yang antara lain hendak mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap korupsi yang wujud dalam kalangan politikus pada hari ini sehingga kesan ketirisan itu dirasai oleh rakyat marhaen sendiri. Inisiatif ini adalah suatu contoh bagaimana gerakan seni itu berupaya mewujudkan suatu kesedaran sosial tentang perihal rasuah dan mewujudkan tekanan yang amat dalam kepada penguasa agar berhenti hidup dalam kebudayaan rasuah sekiranya benar-benar hendak menjadi sebuah kerajaan yang adil dan menjaga kebajikan rakyatnya dengan baik.

 

Sebab itu saya tekankan bahawa seni itu wajar menjadi suatu alat dalam melawan pembudayaan rasuah. Ia wajar dibuat secara besar-besaran seperti mana, sebagai contoh, filem-filem India yang telah digubal dengan mesej pembongkaran budaya rasuah ini secara meluas. Kalau kita tonton filem-filem India di Netflix, sebahagian besarnya konsisten membawakan tema tentang rasuah. Sebutkan saja apa filemnya: Gabbar Is Back, Mersal, Mandela, Game, Gangaajal, dan banyak lagi. 


Sekiranya filem-filem kita terus membawakan tema yang konsisten seperti itu, saya percaya bahawa lama-kelamaan masyarakat kita sendiri akan punya kesedaran untuk melawan rasuah kerana realiti sosial yang diungkapkan dalam filem akan masuk ke dalam imaginasi penontonya yang mewujudkan suatu proses kognitif untuk berfikir dan memahami betapa barah ini sebenarnya yang memusnahkan masyarakat secara perlahan-lahan.

 

Apabila kefahaman masyarakat itu sendiri sudah diperkukuh, maka secara automatiknya akan timbul penentangan sosial untuk melawan pembudayaan rasuah ini daripada peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat atasan. Sekarang ini, saya secara peribadi melihat bahawa kerja-kerja SPRM ini bukan sahaja sukar untuk melawan perasuah-perasuah ini disebabkan sebahagian besarnya daripada kalangan VIP dan ahli politik yang memiliki kuasa wang dan pangkat, tetapi dalam masa yang sama kesukaran ini turut berlaku disebabkan kefahaman sosial yang belum cukup kuat untuk membangkitkan penentangan terhadap golongan sebegini sedari awal lagi. 


Pada akhirnya, kita melihat bahawa golongan ini sentiasa dapat terlepas daripada tindakan undang-undang dengan mudahnya meskipun semua orang sudah maklum bahawa nilai rasuah yang telah ditelannya selama ini itu adalah terlalu banyak. Sedari itu, pembudayaan rasuah ini bukan sahaja harus dicantas secara habis-habisan dalam kehidupan seharian, tetapi mentaliti kita sendiri wajar diperbetulkan semula dalam memahami definisi dan fungsi rasuah dengan betul. Untuk melakukan perkara ini, hala tuju seni kita wajar diperkasa dalam menyampaikan mesej-mesej moral yang melawan rasuah. 


Tidak kisahlah sama ada alat seni itu adalah dalam berbentuk karya sastera (puisi, cerpen, novel, dll), filem, drama televisyen, teater, acara kebudayaan dan sebagainya, tetapi yang penting ialah seni itu harus membentuk perlawanan sosial yang kuat untuk menanamkan gambaran rasuah ke dalam minda masyarakat supaya agenda melawan rasuah itu terbit secara alami lalu membentuk gelombang masyarakat sivil yang kuat untuk melawan kebejatan sosial yang sebegini.



*Tulisan asal diterbitkan di The Malaysian Insight pada 21 Julai 2021. Boleh dibaca di sini: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/328578

Comments