SIAPAKAH PENGARANG HIKAYAT HANG TUAH?
Ketika persoalan itu terus bergulat dalam fikiran, ternyata Hikayat Hang Tuah telah ratusan tahun berdiri dalam korpus Melayu yang telah mengalami ratusan jalinan pemaknaan yang tidak pernah putus. Kita tidak pernah tahu siapakah penulis sebenar Hikayat Hang Tuah. Malah ketika Sulalatus Salatin ditulis oleh seseorang yang bernama Tun Sri Lanang, kita cuma mampu tahu bahawa beliau ialah seorang penulis upahan istana yang hidup pada kurun tertentu, namun tidak dapat hendak meneka dengan tepat siapakah penulis di sebaliknya. Ada yang meneka bahawa itu ialah nama sebenar beliau, dan ada juga yang mengandaikan bahawa itu cumalah sekadar nama samaran. Tidak ada sesiapa yang dapat benar-benar tahu kerana teks itu bukan sahaja telah ditulis ratusan tahun lamanya, malahan disiplin penulisan teks hikayat tradisional ialah pengarangnya tidak dianggap sebagai subjek yang penting untuk disisipkan sebagai pengarang teks. Tapi sehingga ke hari ini, Sulalatus Salatin tetap jua dianggap sebagai korpus agung bangsa Melayu yang wacananya telah melebar jauh sama ada dalam seminar-seminar akademik mahupun intertekstualiti dalam karya-karya fiksyen.
Jadi, bagaimana menanggapi teks yang tidak ada pengarang yang jelas ini? Barthes dalam eseinya, The Death of Author, telah menggariskan panduan:
"Dalam masyarakat etnografik, tanggungjawab bagi sesebuah naratif tidak pernah dipikul oleh seorang individu melainkan terhadap seorang perantara, bomoh, ataupun seorang tukang cerita di mana 'persembahannya' - iaitu penguasaaannya terhadap kod naratif - yang mungkin boleh dikagumi tetapi bukan terhadap 'kebijaksanaannya'."
Seorang pengkaji Hikayat Hang Tuah sendiri dapat membuat andaian bahawa hikayat tersebut mungkin ditulis oleh seorang pengarang istana, hidup pada era sekitar abad ke-18, dan memiliki cara fikir yang tebal dengan keistanaan apabila mengutarakan cerita-cerita feudal yang melibatkan kaum perwira dan elit istana. Jadi, ketika berhadapan dengan teks seperti Hikayat Hang Tuah yang langsung tidak ada nama pengarang yang jelas sehingga sukar ditebak apakah latar belakang pengarang di sebalik karya, maka ia telah membuka tafsiran yang terbuka untuk dibahaskan.
Apabila dikatakan sebagai tafsiran terbuka, tidak bermaksud ia akan ditafsirkan semberono secara melulu tanpa ada kebertanggungjawab teks terhadapnya. Jika ada sekalipun, tafsiran longgar sebegitu secara automatik tidak akan dapat berkomunikasi dengan baik di antara teks dengan pembaca. Tetapi, kebertanggungjawaban itu dibina di dalam kod-kod naratif yang bersembunyi di dalam teks sebagai pagar-pagar yang mendindingi teks daripada sebarang pencerobohan makna yang tidak tentu hala. Teks itu sendiri adalah terbentuk daripada kod-kod yang telah menghimpunkan diri seorang pengarang tanpa pengarang itu sendiri perlu disebutkan namanya.
Penerobosan makna tidak akan berlaku secara melulu kerana tidak ada sesiapa yang akan tiba-tiba hendak dekonstruk Hikayat Hang Tuah sehingga terkeluar terus daripada naratif teks atau menimbulkan makna lain yang tidak berjejak langsung pada dasar teks. Tetapi kod-kod naratif itu menyimpan fakta-fakta teks yang membuka ruang kepada tafsiran luas untuk diwacanakan. Saya fikir, kalau pengarang Hikayat Hang Tuah bangkit dari kubur semata-mata untuk menjelaskan tentang kandungan sebenar teks yang berada di dalam fikirannya ketika Hikayat Hang Tuah ditulis, pasti riwayat hidup hikayat tersebut akan menemui ajalnya bersama-sama pengarang tersebut kerana wacana telah tamat apabila ada naratif paling unggul datang menerapkan jawapan. Sesebuah teks akan mati apabila ada jawapan yang dianggap sebagai jawapan yang paling sebenar.
Saya juga tidaklah bersetuju sepenuhnya terhadap Barthes yang menuju kepada pemusnahan pengarang dan ia datang daripada sebuah proses yang kosong untuk menganggap bahawa pengarang itu tidak lebih daripada sekadar objek "Aku" seperti yang diucapkan dalam teks. Sebab jika menerima andaian sebegitu, bermaksud kita akan menerima bahawa "Aku" di dalam teks adalah sekadar sebuah kekosongan dan tidak menampung sebarang makna untuk dirungkaikan. Itu bercanggah pula dengan ideanya yang ingin menghidupkan teks ketimbang pengarang sekiranya ada subjek daripada teks yang dibiarkan berada dalam ruang kosong. Dalam semantik, objek "Aku" sendiri di dalam teks turut menampung maknanya yang boleh difahami apabila teks tersebut ditanggapi secara menyeluruh. Sebilangan orang skeptik dan merasakan bahawa ia seolah-olah berlebihan dalam semantik atau alegori, tetapi saya fikir ianya tidaklah berlebihan jikalau teks itu difahami sebagai cara pengarang untuk berinteraksi dengan sekeliling.
Saya selalu percaya bahawa sesebuah karya sastera itu akan sentiasa hidup apabila ia selesai ditulis dan dibaca oleh manusia, seperti mana William Shakespeare menjadikan wanita pujanggannya terus hidup abadi dalam Sonnet 18. Seratus tahun lagi nama seorang Hamka barangkali masih wujud ataupun sudah tiada, tetapi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tetap mampu hidup dengan sendirinya walaupun nama Hamka sudah luntur daripada catatan manuskrip kerana novel itu sendiri telah menyimpan rahsia pergulatan fikir seorang pengarang dalam mengisahkan cinta tragedi antara dua orang manusia - Zainuddin dan Hayati - dalam percintaan yang tidak berpenghujung dengan kemanisan.
Jadi, sesudah ratusan tahun lamanya, sekalipun kita masih tertanya-tanya siapakah pengarang di sebalik Hikayat Hang Tuah, tapi pembacaan terhadapnya tidak menghalang kita daripada membuat pelbagai tafsiran sehingga teks itu sendiri terdedah kepada pelbagai kajian daripada pelbagai perspektif. Persona kepengarangan teks tidak luntur tanpa pengarang (kecuali jika yang hendak dicari ialah tentang fakta-fakta hidup pengarang untuk gosip-gosipan). Makna teks tidak dibataskan oleh pengarang dan kepengarangannya, tetapi teks itu sendiri hidup apabila ia dibaca dan ditafsir secara terbuka.
Comments
Post a Comment