MENULIS SURAT IALAH TRADISI SEORANG SASTERAWAN


Aku ada kenangan tersendiri dalam perihal surat-menyurat ini. Sewaktu usia belasan tahun, aku sering berutus-utus surat mahupun emel kepada teman-teman penulis. Ada ketika aku akan berutus emel dengan sesiapa sahaja yang aku cari emelnya di blog-blog yang aku ikuti, ataupun meminta alamat daripada teman-teman penulis untuk mengutus surat ataupun poskad kepada mereka.

 

Mengarang surat sebetulnya adalah tradisi seorang sasterawan. Kalian hampir tidak akan pernah melihat seorang sasterawan besar yang tidak punya tradisi menulis dan berutus surat. Sebut sahaja nama-nama pengarang besar daripada Barat mahupun Timur, pasti kebanyakan mereka sehingga ada buku himpunan surat-surat yang kita boleh baca. Aku paling meminati himpunan surat-surat T.S. Elliot yang sampai sembilan jilid bukunya. Anwar Ridhwan juga ada buku himpunan suratnya yang berkongsi tentang pelbagai cerita. A. Samad Said, usah cerita lagi, buku Warkah Dari Eropah yang bersaiz lebar itu punya pelbagai ceritanya ketika kembara ke Eropah. Ketika aku penat membaca esei-esei tentang idea, aku akan menggali surat-surat penulis dan melihat apa yang mereka bicarakan sesama pengarang besar antara satu sama lain dalam surat-menyurat mereka. Busybody? Ya, hidup seorang pengarang kalau tidak busybody dengan perihal kepengarangan pengarang lain, maka anda pastilah seorang pengarang yang terperangkap dalam kamar sendiri dan sudah cukup selesa dengan katil anda yang kusam itu.

 

Tradisi inilah sebenarnya yang mematangkan kepengarangan dan menajamkan penulisan. Tapi sayang, surat adalah sebahagian daripada genre esei yang semakin pupus. Tidak ada sesiapa lagi yang ingin menulis surat, kerana segala-galanya telah diluahkan di Facebook, Twitter, atau Instagram secara terbuka. Tidak ada lagi yang peribadi dalam era globalisasi. Surat yang bertulisan tangan itu sebetulnya menyimpan keikhlasan diri seorang penulis yang menulis dengan sepenuh hati kepada temannya walau sependek mana pun ia. Tulisan yang ditaip di atas papan kekunci komputer itu telah memutuskan hubungan komunikasi antara jiwa pengarang dengan skrin komputer. Tetapi tidak bagi tulisan yang ditulis dengan pen di atas kertas. Jiwa pengarang itu yang digerakkan oleh tangan sendiri menulis dengan sepenuh hati dan tidak dapat dipadam lagi. 


Aku fikir, rahsia keindahan bahasa seorang A. Samad Said itu terletak pada tradisi penulisannya yang hampir tidak pernah menggunakan komputer. Puisi, cerpen mahupun novel, hampir semuanya ditulis di atas kertas, yang pada akhirnya manuskrip tersebut menyimpan harga yang mahal pada suatu hari nanti. Ya, aku sentiasa mencari-cari manuskrip bertulisan tangan Pak Samad, kerana proses kepengarangannya begitu memikat melihat puisi-puisinya diconteng di sana sini dan garisan huruf tulisan tangannya yang unik. 

 

Sebab itu bagi aku, seorang penulis itu paling tidak, harus rajin menulis tangan. Sekalipun karyanya tidak ditulis tangan, dan dia tidak juga melazimi menulis surat, tetapi dia harus punya buku nota dan pen peribadi untuk mencatatkan sesuatu pada setiap hari. Catatan itu boleh jadi adalah catatan luahan emosinya, cerita kehidupan sehariannya, pandangannya terhadap isu semasa, umpatannya terhadap kawan sekerja, komennya terhadap makanan yang dinikmatinya, buah fikirnya selepas menyelesaikan bacaan sesebuah buku, tekanan dengan lambakan kerja, puisi-puisi spontan yang datang melintas, catatan plot tentang cerita baru yang hendak dihasilkan, atau apa-apa sahaja. Sebab penulisan tangan itu ada estetikanya tersendiri, jadi wajar penajaman estetika itu harus dibuat pada setiap hari. Proses itu akan melahirkan ketajaman indera untuk mencerap segala yang berlaku di sekeliling sebagai suatu idea yang boleh dituliskan ke atas karya. 

 

Aku tidak tahu siapa lagi yang mengamalkan tradisi menulis surat ini. Aku sendiri sudah lama berhenti. Tetapi jika ada yang mahu memulakan semula, beritahu aku. Barangkali kita boleh berkongsi cerita.

Comments