KENAPA SAJAK SUKAR DITAKRIFKAN?
Sebetulnya esei ini sudah diperam seminggu yang lalu. Aku meninggalkannya seketika kerana merasakan bahawa esei ini perlu lebih renungan lagi. Tetapi beberapa hari lalu, terdengar sedikit kekecohan klasik tentang isu perpuisian di ruangan Spaces Twitter, maka aku kira wajar tulisan ini dilepaskan dan terpulang apakah nasibnya setelah menemui pembaca.
Sekiranya aku diminta untuk mendefinisikan puisi, sudah tentu aku sukar untuk mendefinisikannya secara tetap. Aku mungkin akan dapat mendefinisikan dengan mudah tentang puisi sekiranya aku berada pada abad ke-19 dan ke bawah. Sebab pada era itu, puisi itu masih lagi dipelihara oleh bentuk yang formalistik dan membawa nuansa kebudayaan masyarakatnya. Syair datang dari Arab; haiku datang dari Jepun; Jueju datang dari China; dan pantun datang dari benua Melayu. Semua puisi memiliki disiplin bukan sekadar dalam penyusunan kata-kata, malahan objek-objek yang digunakan di dalam puisinya itu perlu patuh dengan kebudayaan setempat dan semangat zamannya bagi memastikan kemenjadian puisi-puisi tersebut dihasilkan. Sudah tentulah akan pelik jikalau objek keris digunakan di dalam haiku atau buah durian digunakan dalam syair. Sebab keris dan durian itu adalah antara keistimewaan khas yang ada di Alam Melayu yang tidak ada dalam kebudayaan Jepun ataupun Parsi.
Tetapi menganjak ke pertengahan abad ke-20 dan menjengah ke abad ke-21, puisi itu sudah memasuki era modennya dan menemui bentuk-bentuk yang lebih kompleks. Puisi era moden yang dipanggil sebagai sajak telah mengalami evolusi perpuisian yang sangat pesat, dan perkembangan aliran pascamoden yang semakin kuat menjadikan sajak-sajak semakin bertambah unik. Keunikan itu menjadikan kita tidak mampu lagi menetapkan definisi yang tetap tentang apakah itu yang dipanggil sebagai sajak. Tidak seperti puisi tradisional yang semua sarjana boleh bersepakat dalam membuat pentakrifan dengan memerhatikan disiplin asas penukangan puisi tersebut, tetapi untuk sajak, pada akhirnya para sarjana hanya boleh mentakrifkan sajak berdasarkan konteks wacana sajak yang hendak dibahaskannya itu. Bermakna, 10 orang sarjana yang hendak mendefinisikan sajak, belum tentu 10 orang tersebut akan bersepakat dengan makna sajak yang mereka kemukakan.
Apakah ini bermakna sajak telah merosakkan kebudayaan puisi-puisi lampau? Tidak. Sebaliknya, sajak telah membuka ruang yang lebih luas untuk sebarang puisi masuk ke dalamnya dan menarikan kata-kata dengan gayanya tersendiri. Setiap orang bebas untuk memilih sama ada dia mahu terikat dengan gaya perpuisian lama atau menguras kreativitinya secara habis-habisan bagi bereksperimental mencari bentuk dan wacana puisi baru yang boleh ditawarkan pada zaman ini. Sajak-sajak eksperimental memecahkan segala tembok konvensional untuk menghasilkan identiti kepengarangan era baru menjadikan kita sukar untuk membentuk suatu ketetapan tetnang apakah yang sepatutnya dipanggil sebagai sebuah puisi.
Maka, sebab itulah puisi era moden sering disalahfahami disebabkan gayanya yang adakala dilihat sebagai abstrak, longgar, dan sebagainya yang menyebabkan sebilangan orang tertanya-tanya, "Apakah puisi itu boleh ditulis semudah menulis puisi Sepi oleh T. Alias Taib pada tahun 1986 dengan sekadar melakarkan sebuah kotak hitam kosong di atas sehelai kertas putih?" Apakah deklamasinya semudah mendiamkan diri bertafakur selama hampir dua minit bagi menimbulkan kesan sepi tersebut kepada pendeklamasi dan "pendengar"? Kemudian persoalan yang lebih falsafi akan timbul pula, "Apakah sepi itu sekadar bermaksud kekosongan suara dan kesendirian tanpa kata-kata?"
Orang-orang yang menggeluti dunia kesusasteraan barangkali tidak sukar hendak menerima dan memahami bagaimana hendak berhadapan dengan sesuatu yang didakwakan sebagai sajak. Sajak bagi orang sastera itu hidup dalam denyut nadi dan gerak darah mereka di dalam tubuh. Mereka tidak kalut hendak memikirkan apakah itu sajak kerana cukup bagi mereka untuk berhadapan dengan apa jua bentuk kata-kata di hadapan mata atau didengar dengan telinga kerana mereka sudah cukup beriman dan meyakini bahawa sajak itu benar-benar adalah sebahagian daripada kata-kata yang wujud di muka bumi. Apabila mereka bertemu dengan suatu himpunan kata-kata, mereka dengan segera akan dapat mengecam, "Oh, itu sajak", "Oh, ini bukan sajak". Dan mereka juga dapat tahu apakah itu sajak yang sedap dan apa pula sajak yang tidak sedap. Orang yang beriman dengan kewujudan sajak adalah seperti orang yang beriman dengan kewujudan Tuhan; tidak semua orang mampu buktikan kewujudan Tuhan atau terangkan tentang Tuhan, tetapi di hati mereka sudah meyakini dan merasai kewujudan Tuhan dalam diri mereka. Begitu juga dengan orang yang sudah beriman dengan sajak.
Tetapi untuk orang yang berminda saintifik ataupun orang yang tidak biasa membaca sajak, pasti akan sukar untuk menerimanya sebagai puisi atau untuk memahami apakah itu sebuah puisi. Kegusaran tersebut tidaklah boleh untuk kita menafikannya dengan mentah-mentah dengan berkata, "Kau tidak faham puisi itu apa". Sebab kegusaran mereka itu bertitik tolak daripada ketidakfahaman pada peringkat pendefinisian sehingga menyebabkan akal fikir mereka tidak dapat hendak menerima puisi-puisi yang mereka baca yang tidak mengembalikan mereka kepada kefahaman rasional. Mereka sudah terdidik bahawa sesuatu perkara itu perlukan kepada bukti dan penghujahan justeru setidak-tidaknya peringkat pendefinisian itu harus jelas dan tetap terlebih dahulu. Mereka cuba untuk memahami tentang sajak kerana ingin menikmati kelazatan dunia kata-kata, tetapi rasionaliti mereka tidak mampu hendak menerima sesuatu yang belum dapat diperjelaskan dengan sesuatu yang rasional.
Cuma, aku tidak fikir dengan pendirian tersebut maka sajak akan menemui jawapannya untuk diri mereka kerana sajak itu adalah sebahagian daripada seni dan seni itu berdiri di atas disiplin yang lain pula. Disiplinnya adalah estetika dan estetika itu memerlukan renungan rasa yang menyusup ke dalam jiwa untuk memahami bagaimana sesuatu itu harus dipanggil sebagai keindahan. Keindahan itu seringkali bergulat dengan sesuatu yang abstrak dan kabur, justeru kefahaman tentang makna keindahan itu memerlukan cerapan jiwa untuk menilai tentangnya. Cerapan itu terhasil daripada pergaulan dengan alam sekeliling (seperti manusia, pokok, hutan, bukit, bangunan, rumah, kucing, semut, rumput, langit, angin, hujan, batu, sampah, dll), atau setidak-tidaknya merenungi diri sendiri bagi menggeledah makna eksistensialis yang dapat kita hasilkan dengan pembinaan kota imaginasi kita sendiri dan kita hidup di dalamnya dengan tenteram dan aman. Kota imaginasi itu kita bina dengan sesempurnanya, dan kita tentukan bahasa apakah yang paling sempurna kita ucapkan, dan daripada situ kita fahami apakah makna keindahan dan bagaimana ia digambarkan dengan kata-kata.
Aku fikir, jika hendak melalui jalan rasionalis dan saintifik, mungkin apa yang boleh dibuat ialah memperkenalkan mereka kepada puisi yang lebih berdinding dan berlantai dengan teratur terlebih dahulu. Perkenalan terlebih dahulu dengan syair, gurindam, pantun, seloka, dan nazam supaya kefahaman puisi itu sampai ke dalam fikiran. Mereka perlukan sesuatu yang objektif untuk mereka fahami sebagai asas, maka berikan terlebih dahulu sesuatu yang objektif untuk mereka rasai. Puisi-puisi tradisional lebih objektif berbanding puisi-puisi moden yang lebih subjektif. Kefahaman terhadap peringkat objektif ini lama-kelamaan akan memahamkan mereka sendiri kepada sesuatu yang subjektif. Jika tidak, kita akan terus larut dalam kebingunan yang tidak selesai tentang persoalan, "Apakah itu sajak?".
Comments
Post a Comment