CATATAN DIARI SEWAKTU SUKAR TIDUR
Aku bukanlah seorang penukang cerita yang baik, sebetulnya. Aku selalu bercanda memetik kata-kata Faisal Tehrani dalam buku Karya Nan Indah, "Bercerita itu semudah menipu", maka kataku, "Aku tidak pandai menipu, maka aku tidak pandai bercerita". (Haha) Tapi sebetulnya, sekalipun remaja aku dibesarkan oleh novel-novel A. Samad Said, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan, Azizi Haji Abdullah, Anwar Ridhwan, dan Zaharah Nawawi sehinggalah kepada penulis lebih kontemporari seperti Ramlee Awang Murshid, Norhayati Berahim, dan Zehann Ur Rakhie (sayangnya penulis berbakat sepertinya hanya sekadar tulis tiga novel sahaja buat masa ini), tetapi kepengarangan aku dalam bercerita itu tidak mekar subur. Kemudian aku berkenalan pula dengan gagasan Persuratan Baru yang dibawa oleh Mohd. Affandi Hassan, setidak-tidaknya ia membuka jalan sikit kepada aku yang lebih minat dengan hal-hal pemikiran ini untuk menulis cerpen yang berwacana dengan penekanan pada aspek wacana berbanding cerita.
Sudah tentu, kehadiran gagasan sebegitu menyelamatkan sikit nafas kepengarangan cerita aku yang agak semput untuk menulis sebuah cerpen. Hatta satu cerpen saja, seringkali aku terpaksa mengambil masa enam bulan untuk menyiapkannya dengan betul. Selain aku mengambil inspirasi daripada Anwar Ridhwan dan A. Samad Said yang sangat cerewet pada aspek penyuntingan karya sebelum dilepaskan kepada pembaca, tetapi paling utama ialah aku begitu sukar dalam menukang idea untuk mengarang cerita dengan baik. Sehingga kini pun, aku sentiasa mensyukuri andai aku cuma ada satu cerpen sahaja yang disiarkan di mana-mana dalam masa setahun. Setidak-tidaknya tali hayat pengkaryaan aku dalam hal-hal kreatif tidak menguncup dan terlitup.
Tetapi, semakin dewasa, semakin membuka jendela minda aku untuk meneroka karya-karya luar, dan sebetulnya membuka penerokaan aku kepada genre-genre karya yang tidak sekadar menukang cerita-cerita yang imagitatif semata-mata. Aku pernah membaca karya J.M. Coetzee yang menulis novel Diary of A Bad Year yang benar-benar seperti sebuah diarinya. Dalam Diary of A Bad Year, J.M. Coetzee telah membina lapisan naratif yang berlapis-lapis. Ada lapisan tempat dia tumpukan untuk menghujahkan pandangannya terhadap isu semasa dunia; ada lapisan tempat dia mencoretkan ceritanya; dan ada lapisan dia menggerakkan suatu watak untuk mengalirkan ceritanya bagi menggerakkan dua lapisan awal tadi itu. Kalau anda pernah membaca novel D.U.B.L.I.N. oleh Wan Nor Azriq, anda pasti memahami maksud saya itu. Bentuk novelnya ditulis dengan mirip dengan bentuk novel Diary of A Bad Year kalau anda perasan.
Kemudian aku berkenalan pula dengan esei-esei sasterawan seperti T.S. Elliot, D.H. Lawrence, George Orwell, Ralph Waldo Emerson dan beberapa yang lain yang memperkenalkan aku bahawa esei itu juga adalah suatu bentuk cerita. Landskap fikir aku terbuka lagi bahawa menggeluti esei tidak harus membuatkan aku rasa rendah diri, kerana esei juga adalah medan cerita yang aku bebas hendak melakarkan apa-apa yang aku suka. Aku boleh memilih esei untuk mengkritik; aku boleh menjadikan esei untuk bercerita; aku boleh menulis esei untuk bergosip; aku boleh menulis esei untuk berkhayal; aku boleh menulis esei untuk meluahkan pandangan. Ringkasnya, esei itu tidak sekadar medan fakta dan pandangan. Esei juga adalah tempatnya untuk aku memilih kebebasan dalam membuat pilihan tentang apa yang aku ingin tulis tanpa dikongkong oleh ketakutan untuk menulis sesuatu yang aku tidak mahu tulis atau tidak pandai tulis.
Sesudah itu aku segera sedar, pada ketika ini, aku tidak wajar terperangkap untuk digesa menulis karya-karya yang aku tidak mampu tulis. Aku sepatutnya memilih untuk menulis sesuatu yang memberi rangsangan kepada seruan jiwa aku untuk menjadikannya sebagai sebuah tulisan. Aku masih ingat lagi pesan Anwar Ridhwan ketika pertemuan aku dan teman-teman Generasi 90 bersama dengannya di Secret Recipe sekitar tahun 2013, bahawa ada idea layak dipuisikan; ada idea harus dicerpenkan; ada idea wajar dinovelkan — ringkasnya, idea itu harus dialirkan kepada tempatnya yang betul dan tidak wajar dipaksa-paksa untuk mengisi suatu ruangan sekiranya itu bukan tempatnya yang sesuai.
Sehingga kini, sekalipun aku masih mencari-cari identiti diri sendiri untuk menulis, setidak-tidaknya aku sudah tahu sedikit, jalan apa yang harus aku pilih bagi menempuh kepengarangan yang sukar ini.
Comments
Post a Comment