MENGIKIS SAWANG DI DALAM BLOG




Aku ada hendak buat suatu pengakuan: Sejujurnya, aku sendiri pun sudah melupakan kewujudan blog ini (haha!). Aku malam ini seperti memikirkan harus sesekali menulis sesuatu yang ringan sekadar ruang eskapisme aku. Sebab aku percaya, terlalu bergelumang dengan bacaan yang serius juga adakala memualkan. Sesekali harus juga memerhati sisi-sisi diri yang tidak serius itu dan menulis sekadar apa yang diluahkan daripada petikan jari. Aku sehingga sekarang tidak pernah puas dengan apa yang aku sudah tulis. Aku mungkin tahu langgam tulisan aku, justeru tidak ada masalah untuk aku siapkan tulisan sebanyak 1000-1500 perkataan sekadar dengan sekali duduk. Tetapi untuk menulis sesuatu yang memuaskan pengalaman eksistensialisme aku itu, aku belum menjumpai itu. Jadi, apabila aku menggodek-godek blog, aku telah ditemukan dengan blog lama aku ini, yang aku wujudkan untuk menulis sesuatu yang lebih peribadi dan tidak terlalu berwacana yang besar-besar. Aku cuma sekadar hendak menulis sesuatu yang daripada hati, tanpa buku tanpa artikel jurnal tanpa apa-apa rujukan ilmiah di hadapan mata. Jujur, aku menulis sekarang ini dengan pandangan yang kosong dan sekadar mengikut rentak jari aku yang mahu keluarkan apa. Aku biarkan sahaja jari aku menaip dan aku sendiri tidak melihat sangat pun apa yang aku sedang tulis.
 
Menulis esei ini, bagi aku, adalah satu pengalaman eksistensialisme yang kita sendiri harus bina dengan dinding, tiang, dan pintu kita sendiri. Aku pernah utarakan dalam satu tulisan, bahawa esei itu sendiri harus dimasukkan bersama dalam genre fiksyen sastera. Kefahaman terhadap esei itu harus diperluaskan. Esei itu bukan sekadar tulisan berpolemik dengan hujah atau penerangan berinformasi dengan fakta. Esei itu malahan jauh lebih itu. Esei itu sendiri barangkali boleh menjadi sebuah cerita. Mohd. Affandi Hassan pernah mengutarakan satu konsep karya yang dipanggil sebagai espen (esei + cerpen) dalam bukunya, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Espen itu adalah suatu bentuk karya fiksyen yang berwacana; cerita yang dibumbui oleh wacana. Sebetulnya konsep espen ini kalau di benua lain, bukanlah sesuatu yang baharu. Tradisi esei di luar itu meluas, dan ia hadir dalam pelbagai bentuk. Cuma sahaja, hampir tidak ada di Malaysia ini yang menyambut konsep espen tersebut untuk diwacanaluaskan supaya ia menjadi suatu bentuk aliran baharu dalam genre sastera kontemporari. 
 
Sebab itu aku fikir, sebelum tiba kepada mempolemikkan aliran esei, esei itu sendiri terlebih dahulu perlu ditakrifkan terlebih dahulu selumat-lumatnya. Seperti kata Wan Nor Azriq di Twitter aku baru-baru ini, Malaysia ini tidak ada tradisi esei. Apabila aku fikirkan semula, ya, betul juga. Kita tidak ada penulis yang benar-benar melumati genre esei dengan serius. Kita barangkali ramai penulis yang menulis esei secara eceran di merata tempat, tetapi ia tidak menimbulkan suatu aliran tersendiri dalam dunia esei, seperti mana kita ada aliran yang jelas dalam dunia puisi, cerpen, novel, mahupun skrip drama. Sebab genre esei hampir ditinggalkan daripada pemerhatian penulis sastera mahupun kritikus, kerana seperti aku kata tadi, genre itu difahami sekadar dalam faham yang tidak meluas. Kita tidak boleh salahkan sesiapa juga, barangkali ia berangkat daripada keluasan pembacaan, dan pembacaan ramai penulis barangkali banyak tertumpu kepada karya-karya fiksyen semata. Sebab itu, aku fikir, esei wajar dibangunkan dan abad ini aku kira amat tepat kerana pembacaan dari internet lebih mudah hendak diakses justeru lebih mudah untuk sebarang esei dibaca. Tinggal sahaja, siapa yang harus menulisnya? Itu persoalannya. 
 
Kebetulan esei yang aku sedang tulis ini pun, sepatutnya cuma hendak memberitahu, aku sudah lama tidak kemas kini blog ini!

Comments