TRADISI AHAD IV



(Catatan pada 18 Julai 2020)

1) Berdamai dengan pagi hujung minggu lagi yang menguning dengan tradisi buku, tosai masala, dan teh masala. Cuma pagi ini selera memuncak kepada telur separuh masak pula seraya menjadi tambahan yang membangunkan selera. Dan pagi ini sedikit melanggar tradisi Ahad, kerana pagi yang aku nikmati kali ini ialah hari Sabtu. Tapi kerana aku tidak senang pada hari esok, maka aku tetap lunasi tradisi Ahad dengan hari Sabtu.

2) Minggu lalu adalah pengalaman sejarah penat dan jerih. Berhadapan dengan dugaan yang mencabar emosi dan rasionaliti menuntut tenaga lahir dan batin yang tidak sedikit. Maka minggu ini fikiran dan jiwa harus diwaraskan dengan lurus agar segala yang dilalui tidak terus melemaskan peribadi.

3) Tidak dapat tidak, dalam resah fikir dan rusuh kalbu, Shahnon Ahmad adalah seseorang yang telah lama aku anggap sebagai bapa yang tegas mendidik dengan tajam kata dan garang suara. Ketika dalam pilu, aku selalunya akan mencari Hamka kerana kata dan suaranya ibarat bapa yang lembut membelai memujuk anaknya dalam kesedihan. Tetapi ketika menempuh cabar, Shahnon adalah seperti bapa yang tidak akan berlembut malah pula mengherdik supaya anaknya terus jantan melawan uji. Dalam buku Kesasterawanan Kepolitikan Kealaman Kedirian Kemanusiaan ini sahaja, Shahnon melawan dan terus melawan tanpa kasihan terhadap segala macam kebobrokan yang melawan kemanusiaan. Paling tidak, Shahnon sedang memberitahu bahawa seorang sasterawan itu perlu terus berpendirian mempertahankan kemanusiaan. Barangkali setiap orang punya cara yang berbeza dalam bertindak, tapi setiap orang itu harus punya keyakinan antara satu sama lain dalam menggerakkan kerja-kerja menyanjung keadilan. Dan kata Shahnon, "Seorang sasterawan yang sahih utamanya adalah manusia dengan segala aspek kemanusiaannya".

4) Pagi ini terus bungkam. Cuma di sekeliling adalah suara orang yang sedang makan sambil membualkan sesuatu. Aku cuma terus tenang dan nikmat larut dalam pagi yang  begini. Aku harap masa terus menjadi perlahan dan perlahan kerana momen yang begini seringkali cepat ranap ditenggelami waktu 

Comments