TRADISI AHAD III



(Catatan pada 5 Julai 2020)

(1)
Pagi Ahad aku terus subur dengan hidangan pagi yang menggiurkan -- teh masala dan tosai masala. Hari ini hari masala moga tanpa masalah. Pagi ini buku ditutup dan disimpan sementara waktu. Kepala sudah tepu oleh minggu yang memenatkan maka perlu ruang waktu seketika dengan diri sendiri.

(2)
Ketika saya mengikuti Minggu Penulis Remaja 2009, saya masih ingat ketika sesi bersama Rahman Shaari, beliau memberitahu tentang seorang sasterawan yang saya lupa namanya, tapi mendapat julukan "hafiz puisi" kerana telah menghafal ratusan puisi. Malah beliau sendiri mengaku pada ketika itu telah menghafal - jika saya tidak salah ingat - sekitar 300 buah puisi. Saya rasakan itu adalah sesuatu yang "cool". Saya pulang dari MPR, terus berusaha hafal beberapa buah puisi daripada Chairil Anwar, Usman Awang, A. Samad Said, T. Alias Taib, Zaen Kasturi, Johar Buang dan beberapa buah puisi sufi daripada buku Sastra Sufi susunan Abdul Hadi W.M seperti Rabiatul Adawiyah, Jalaluddin Rumi, dan Al-Hallaj. Tapi akhirnya, hampir semua yang telah dihafal itu dilupakan. (Dikira berdosa tak ya kepada sastera kalau terlupa puisi yang telah dihafal?) Cuma yang masih jelas dalam ingatan, cumalah puisi Nikmat karangan A. Samad Said:

Segala yang dihasrat
Tapi tak didapat
Adalah nikmat
Yang paling padat.

Paradoks pada puisi itu punya inti makna yang punya falsafahnya tersendiri. Sayang ia tidak mendapat renungan kritikan yang wajar daripada para kritikus sastera. Jika tidak, pasti auranya menjalar kuat seperti puisi pendek Malam Lebaran oleh Sitor Sitomorang itu.

(3)
Selamat pagi nan indah. Moga hariku dan hari kalian terus segar dalam keceriaan dan subur dalam ketenangan!

Comments