TRADISI AHAD I
(Catatan pada 7 Jun 2020)
Seperti tipikal pekerja makan gaji, hujung minggu adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tekanan kerja; penat yang tidak kunjung surut; juga belanja yang tidak selalu murah, maka hujung minggu membangkitkan momen bersama diri sendiri untuk menikmati sisa-sisa waktu. Apa lagi jika Isnin pula cuti, maka ia adalah rezeki waktu yang jarang berlalu.
Cuma sahaja, untuk aku, hujung minggu itu tidak sekadar ditunggu, malah pula dirindu. Berapa lama sudah aku tidak mengenal erti hujung minggu. Sejak di UNIMAS lagi, kolej kediaman itu cuma seperti hotel yang akan aku singgah untuk tidur dan menukar baju. Selain daripada itu, aku ke sana sini bermesyuarat dan menguruskan program. Apabila sudah bekerja pula, Sabtu dan Ahad itu tidak lebih sekadar seperti hari-hari biasa yang aku akan terus bekerja sehingga teman-teman sekeliling juga menyatakan aku sudah gila dengan kerja yang tidak kunjung henti dan tidak pandai pula untuk meminggir diri.
(Siapa juga yang tidak marah kan kalau waktu keluar dengan rakan-rakan menonton wayang, tiba-tiba keluar seketika panggung dan membuka laptop hanya untuk menyiapkan sedikit kerja walhal boleh saja aku tangguhkannya sebentar untuk menikmati waktu dengan diri sendiri?)
Jadi, apabila sesekali aku menerima pagi hujung minggu dengan buku, roti canai, dan teh masala yang aku gemari (dan di kedai makan yang aku paling selesa), ia adalah seperti seorang kafilah yang tersesat di gurun sahara menemukan lopak air sebagai penghilang dahaga. Orang seperti melihat aku tidak suka membiarkan waktu berlalu secara terbazir (benar pada satu sisi, kerana sedari kecil aku dididik oleh ibu bapaku untuk menghormati waktu), tapi diri aku sendiri sebetulnya dahagakan waktu-waktu untuk bersama diri sendiri.
Pada usia yang begini, aku fikir aku harus belajar menghormati waktu. Ya, menghormati waktu tidak sekadar mentaati setiap saat padanya tanpa ingkar, tapi juga memberi ruang pada waktu untuk bersama dengan diri sendiri. Diri sendiri juga kedahagaan waktu yang perlu diisi sebagai proses istirahat dan muhasabah.
Tempoh-tempoh yang sebegitu adalah penting walaupun kecil dan sedikit, kerana ia membuka ruang kepada diri sendiri untuk bertenang dan belajar tentang makna kehidupan yang lebih rencam, seraya akal dan jiwa dapat sejajar dengan waktu untuk lebih gagah bergerak ke hadapan.
Comments
Post a Comment