TRADISI AHAD II
(Catatan pada 21 Jun 2020)
(i)
Syukur aku masih dapat melanjutkan tradisi minggu Ahad dengan roti canai, teh masala, dan buku. Pagi ini menguliti kumpulan cerpen tulisan SN Anwar Ridhwan; pengarang yang sentiasa berhati-hati dalam pemilihan kata dengan tampungan idea yang kuat.
(ii)
Setiap kali aku rasa kreativiti kata kegersangan, aku akan membuka cerpen-cerpen SN Anwar Ridhwan ataupun esei-esei SN A. Samad Said. Barangkali jika hendak bercakap soal idea, aku akan menikmati Faisal Tehrani, Fahmi Mustafa, Sri Rahayu Mohd Yusof dan Regina Ibrahim; atau akan menyelak Wan Nor Azriq, Azrin Fauzi, dan Zainal Rashid Ahmad untuk menekuni perihal kesegaran teknik pengkaryaan; tapi kekuatan berbahasa aku kira belum ada sesiapa yang mampu tewaskan SN Anwar Ridhwan dan SN A. Samad Said lagi. Ia terasa mengalir dan tidak dibuat-buat. Adakala aku berfikir, barangkali pengalaman lampau yang masih tandus teknologi itu menjadikan pengarangnya mendekati alam itu seakrabnya lalu dijernihkan menjadi pengalaman-pengalaman yang mengalirkan kata-kata yang indah.
(iii)
Cerita sains sosial itu dilambung dan dilelong seperti tidak ada nilai harganya bukanlah suatu cerita baharu, kerana yang lebih tua daripada itu adalah sastera yang selalu minoriti dalam penghargaan masyarakat. Jika sejarah dan geografi itu dilihat sebagai statik, apa lagi sastera pula telah lama dilihat sebagai tinggalan artifak zaman silam yang sekadar dilihat di sebalik dinding-dinding kaca di muzium. Tapi hampir tiada siapa yang ke hadapan mahu pertahankan, kerana yang menjadikannya lesu dan mati itu tidak lain daripada para sasterawan itu sendiri jua yang lebih enak bermain politik ampu di belakang. Aku syukur PRU-14 itu berlaku, kerana ramai sekali wajah-wajah siluman mereka yang sekian lama disorok tertanggal dari mukanya.
(iv)
Pagi sudah menganjak ke petang; dan aku masih terperangkap dalam medan terjemahan yang perlu segera dilangsaikan. Perasaannya adalah seperti terbeku dalam hari-hari yang kaku, dan aku perlu menghadapinya suatu perasaan yang paradoks: Antara penat dan perit yang dihimpit kesukaran mengalihkan bahasa dan idea, tetapi juga dirangsang nikmat dan bahagia melihat gugusan idea itu terjalin satu-persatu daripada kata-kata yang telah bertukar wajahnya.
Comments
Post a Comment