KEJUJURAN INTELEKTUALISME


Kebiasaannya apabila membaca sesebuah buku, aku akan hanya berurusan dan berhujah dengan idea-ideanya sahaja, kerana aku mengambil sikap untuk percaya bahawa pengarang sudah merenung dan menyelidik sebelum dirumuskan menjadi gagasan idea. Dan aku percaya bahawa dia sudah cukup matang dan adil dalam memilih sumber rujukan. Malah seringkali buku yang hebat akan membawa aku kepada sumber rujukan yang hebat juga, menjadikan tradisi ilmu itu bersambungan untuk memahami pembentukan sesebuah gagasan idea secara holistik. 

Ketepatan dalam penggunaan sumber rujukan tidak sekadar membuktikan pengarang tersebut benar-benar menguasai bidang yang ditulisnya, tetapi juga menunjukkan kemampuan dirinya untuk mandiri dalam ideanya kerana rujukan terhadap pengarang-pengarang besar lain memerlukan proses sintesis maklumat yang tinggi dan tidak sekadar memetik-metik idea orang lain tanpa hala tuju. Antara penulis yang seringkali memberikan aku manfaat pada tahap sebegini ialah Syed Naquib Al-Attas, Syed Hussein Alatas, Khaled Abou El Fadl, Dr. Azhar Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama yang terlintas spontan dalam kepala).

Tetapi kalau sesebuah buku itu terkenal sebagai buku penghujahan idea, tetapi keraguan aku ketika membacanya sampai aku terpaksa merujuk kekuatan sumber-sumber rujukannya sekali, bermakna buku itu bagi aku adalah sangat bermasalah. Apabila membaca sesebuah buku ilmu, perkara pertama yang aku akan perhatikan adalah kekemasan pengarang dalam menyusun hujah dan kaedah kajian yang digunakan dalam membuktikan hujah-hujahnya sebagai absah. Sesebuah buku akan menimbulkan keraguan dalam diri aku ketika membacanya apabila didapati pengarang asyik dalam nuansa menyerang berbanding menjelaskan. Dan dalam serangan-serangan itu pula, tidak ditampung dengan bukti-bukti yang jelas. 

Apa lagi pula jika didapati bahawa sumber rujukannya juga tidak adil dalam mempertahankan sesebuah idea kerana asyik dan hanya merujuk rujukan-rujukan yang berpihak kepada sentimennya semata-mata, dan sebaliknya lebih banyak pula bergantung kepada idea peribadi yang sekadar dirumuskan daripada pengalaman peribadi tetapi hendak menghujahkan sesuatu yang besar, itu petanda sangat bermasalah. Sebab buku ilmiah ditulis untuk menghujahkan idea. Penghujahan idea itu harus berlaku dalam bentuk yang sangat sistematik, jelas, dan konkrit. Konkrit itu dalam erti kata hujah-hujah itu disokong oleh logik yang kuat dan bukti yang kukuh. Ia bukan sebuah memoir yang boleh ditulis mengikut kaca mata peribadi dan orang tidak akan menjadikannya sebagai rujukan untuk mewakili sesebuah gagasan idea. Sebab itu, apabila terbaca buku-buku yang berbentuk sebegini, aku membacanya dengan maksud hendak mengambil pelajaran agar tulisan-tulisan aku akan datang tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh pengarang sebegitu.


Comments