FAHAMI DULU LOGIK ORANG LAIN
Aku menyelongkar almari aku, menemukan kepada sebuah buku puisi oleh Latif Kamaludin yang dibeli di Gerak Budaya Pulau Pinang pada tahun 2016. Puisi-puisinya unik dan meninggalkan banyak ruang di dalam buku itu menyebabkan aku mengisi ruang-ruang kosong tersebut dengan catatan-catatan peribadi. Apabila aku membuka semula buku tersebut, ada catatan yang aku rasa agak menarik lalu aku ingin kongsikan di sini salah satu catatan yang aku pernah tulis dalam halaman buku tersebut. Barangkali susunan argumentasi itu perlukan kekemasan lagi, tetapi ideanya ada di situ untuk difikirkan.
___________________________________________
Rasionaliti adalah suatu perkara yang relatif jika ditinjau dari sudut pandangnya sebagai sebuah subjek. Tapi suatu perkara yang mungkin boleh dipersetujui ialah rasionaliti itu melibatkan logik yang berada dalam fikiran objek (manusia) dalam menentukan sebarang keputusan ataupun pandangan. Sebab itu, keputusan ataupun pandangan setiap orang adalah berbeza-beza kerana manusia memiliki logik yang tidak sama. Adakala kita menolak pandangan seseorang kerana merasakan dia tidak rasional, sedangkan yang sebenarnya berlaku ialah sama ada kita tidak bersetuju dengan logik dia ataupun logik kita tidak menerima logik yang digunakan olehnya.
Logik itu adalah bersifat empirikal; [adakala bersifat teoretikal]; adakala bersifat deduktif, dan adakala logik itu datang daripada perasaan halus dalam diri. Dalam hal ini, perlunya untuk mengelak daripada menjadi seorang penghukum ataupun pelabel adalah dengan cuba memahami dulu logik yang ada dalam rasionaliti seseorang. Proses memahami logik itu akan mengelakkan kita daripada tersalah hukum ataupun menolak sesuatu secara membuta tuli.
Apabila logik sudah difahami, maka jika tidak bersetuju, peringkat seterusnya ialah melakukan kritikan terhadapnya dengan menjadikan logiknya sendiri sebagai dasar pembuktian bahawa ada kontradiksi ataupun falasi dalam gaya berfikirnya. Dengan cara ini, kita dapat buktikan ianya wujud falasi dalam logiknya, bukan hanya tahu menghukum ke atas rasionaliti orang lain tanpa berlaku adil terhadap rasionalitinya itu.
Comments
Post a Comment