EULOGI BUAT SAPARDI DJOKO DAMONO (1940-2020)



Saya percaya, berita pemergian penyair besar Indonesia, Sapardi Djoko Damono itu menggemuruh dan meruntun ramai orang, terutamanya para sasterawan nusantara, lagi-lagi di Malaysia. Betapa ramai penyair yang mengguruinya daripada kejauhan, dengan mengakrabi puisi-puisinya dan cuba-cuba untuk meniru Pak Sapardi walaupun identiti dan pendiriannya jelas sekali di sebalik puisi-puisinya yang sering kabur itu. Pemergiaannya daripada alam fana ini seolah-olah telah memberhentikan hujan-hujan yang melebat dalam puisi-puisinya itu meninggalkan semua orang dalam kekeringan kata-kata. 

 

Seingat saya, saya mengenalinya sekitar tahun 2007 atau 2008 melalui puisi Sihir Hujan. Sosok seorang Sapardi pada ketika itu lazim diwajahkan dengan puisinya yang itu. Ketika membacanya, saya termenung panjang untuk memahaminya namun bilah-bilah katanya cepat memikat perhatianku. Segera saya menghubungi Kak Ilya E-Sastera yang menyediakan khidmat tempahan untuk mencari buku-buku langka, bagi mendapatkan buku kumpulan puisi Sihir Hujan oleh Pak Sapardi. Sekitar seminggu, buku itu selamat tiba ke tanganku. Saya mengambil waktu untuk menghabisi puisinya satu persatu. Kebanyakan puisi-puisinya ringkas cuma, tapi perlu renungan yang mendalam untuk memahaminya. Sayang sekali ketika Pak Sapardi datang ke Malaysia pada suatu ketika, saya tidak sempat hendak mencium tangannya dan merakam momen bersamanya. 

 

Puisi-puisi Pak Sapardi ini, memahaminya tidak harus dengan nuansa logika, tapi pandangan batin yang merasainya melalui pengalaman peribadi. Ketika kita membaca puisinya, akal logik barangkali sangat sukar menerka maksud-maksud yang hendak disampaikan, lantas orang yang tidak sabar dan akademis akan terus meninggalkannya sebagai penyair absurd yang tidak berhala tuju. Orang-orang yang totok mengimani realisme tidak akan gemar dengannya. Sebab itu ketika membaca puisi-puisinya, logika realiti itu harus ditinggalkan sebentar di luar pintu, dan kita masuk ke dalam rumah puisinya dengan diri yang batini dan tidak dengan jiwa menghukum.

 

Tetapi jika dibaca satu lapis dalam lagi, ditambah dengan pengalaman peribadi, kita akan larut dalam estetika kata-katanya dan menemui basahan maknanya menyirami jiwa kita. Ya, puisi-puisi tidak mengajar-ngajar, dan tidak pula menceritakan perihal besar-besar. Tetapi bagi jiwa yang sunyi dan mencari-cari, puisi-puisi Pak Sapardi adalah teman yang akan mendengar luahan-luahan dalaman kita lalu menawarkan diri sebagai teman yang sangat memahami.  

 

Sebab itulah walaupun Pak Sapardi itu datang dari zaman yang berbeza, tapi puisi-puisinya sendiri sangat akrab dengan para penyair muda. Malah saya sendiri terpana apabila mendapati kenalan-kenalan penyair saya dari generasi abad ke-21 sudah membaca dan menggemari puisi-puisi Pak Sapardi. Ternyata kekuatan puisi-puisi Pak Sapardi itu punya sihir yang merentas waktu, dan Pak Sapardi sendiri telah merakamnya dengan jelas pada salah satu puisinya pada sebaris ayat yang sangat menyihir, “Yang fana adalah waktu. Kita abadi”. Ya, sehingga pada ketika ini, ternyata Pak Sapardi telah menemui keabadiannya, hingga pemergiannya daripada alam fana ini hanyalah sekadar perginya jasad fizikal Pak Sapardi, tetapi puisi-puisinya menyebabkan dia terus hidup dan puisi-puisinya semakin bertebaran dibaca.

 

Selamat tinggal, Pak Sapardi. Selamat menuju ke negeri abadi. Moga puisi-puisimu adalah ibadah yang menjadi cahaya ketika di sana, kerana ternyata setiap kata-katamu sering memeluk kami dengan ketenangan dan menemani kami dalam kesunyian. Tapi ketahuilah, kepengaranganku membesar dengan puisi-puisimu.

Comments