BERJALAN-JALAN DI INTERNET
Ketika saya hendak menyiapkan sesuatu artikel pula, rutin itu saya tinggalkan seketika dan hanya akan membuka esei-esei George Orwell, atau pun esei-esei A. Samad Said mahupun artikel-artikel Azhar Ibrahim [4]. Sesekali saya akan mengulang baca esei D.H. Lawrence, Virginia Woolf, Susan Sontag, Kassim Ahmad ataupun Shahnon Ahmad untuk meraih ilham [5]. Tetapi saya fikir — sekadar dari pembacaan saya yang masih terbatas — kekuatan Orwell, Pak Samad dan Azhar Ibrahim itu lebih berimbang dari segi kekuatan idea dan keindahan langgam bahasa. Saya tidak perlu untuk mengadakan sebarang perbandingan dengan mana-mana penulis esei lain, kerana ini bukannya pertandingan esei untuk menawan hati. Tiga penulis ini menyediakan fundamental yang kuat dalam pengkaryaan saya dalam melakukan pembacaan sintopik.
Cuma, sampai sekarang, saya sentiasa sedar masih belum mampu untuk menulis esei dengan baik dan kreatif. Saya kira, kekuatan yang ada pada esei itu lebih pantas menyelinap ke dalam segenap sudut hati pembaca kerana tampungan estetikanya yang tinggi tanpa terlalu diberatkan dengan wacana atau dilonggarkan dengan cerita. Ramai ahli falsafah Barat lebih banyak membincangkan idea-idea mereka melalui jalan esei.
Tinggal saya sahaja, yang masih lagi merangkak mencari, apakah itu yang dipanggil sebagai esei?
[1] Satu perkara yang saya kagumi dengan tradisi penulisan Barat; mereka selalu menghimpunkan semua khazanah penulisan seseorang penulis dalam satu buku sekaligus. Dokumentasi sebegitu sangatlah bagus kerana ia membuka ruang yang luas untuk karya-karya seseorang penulis dikaji dengan mendalam tanpa perlu mencari-cari lagi karya eceran yang diterbitkan bersepah-sepah, atau dari buku-bukunya yang sudah langka atau sukar didapati.
[2] Secara jujurnya, berbanding karya fiksyen, karya-karya Inggeris saya lebih suka dekati melalui tetingkap esei. Mungkin imaginasi saya terlalu banyak diperangkap dalam nuansa ilmiah, tetapi esei lebih meluaskan ufuk fikir saya untuk melihat dunia daripada pelbagai sisi.
[3] Saya segera teringat kepada Mohd. Affandi Hassan yang mengasaskan satu genre yang dia namakan espen (esei + cerpen). Sebagai medium untuk menampung gagasan Persuratan Baru, dia mengangkat espen sebagai genre pengkaryaan yang mengangkat karya-karya berkhutbah. Namun begitu, espen di tangan Mohd. Affandi Hassan adalah janggal sekali, dan kaku dibaca.
[4] Buku Azhar Ibrahim yang bertajuk Menyanggah Belenggu hampir lunyai saya belek-belek sejak tiga tahun lepas. Ketika menyambung pengajian sarjana di UKM pada tahun 2017, setiap kali hendak menyiapkan tugasan akademik universiti, saya akan dapatkan mood dari buku berkenaan. Tabiat itu kekal hingga kini.
Comments
Post a Comment